Friday, 5 October 2012

Ziarah ke Makam Syeikh Tokku Tuan Besar


Catatan 29 Sept 2012

Setelah menziarahi Makam Tokku Paloh di Kampung Paloh, Losong saya memandu kembali ke Masjid Tokku Tuan Besar di Kampung Cabang Tiga. (Ketika dalam perjalanan ke Kampung Paloh saya sebenarnya “terlepas” masjid ini yang terletak tepi jalan. Walau bagaimanapun, saya meneruskan perjalanan ke Makam Tokku Paloh dan merancang singgah semula di Masjid ini apabila balik dari Kampung Paloh).

Saya tiba di Masjid ini lebih kurang setengah jam lagi sebelum masuk waktu ‘Asar. Setelah menunaikan solat Zuhur (jamak sekali dengan solat “Asar), saya bertanya kepada beberapa orang Jemaah mengenai lokasi makam Syeikh Tokku Tuan Besar. Namun kebanyakan mereka tidak mengetahui. Ada yang mencadangkan saya supaya mencari di sekitar perkampungan di belakang masjid tersebut. Seorang Jemaah pula mengusulkan saya agar menanti imam masjid berkenaan datang dan bertanya kepadanya. Saya agak buntu seketika. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk mengelilingi masjid itu sekali lagi.

Masjid Tok ku Tuan Besar di Cabang Tiga, Kuala Terengganu
Rupa-rupanya di Bahagian depan masjid (arah kiblat), terdapat lorong kecil di antara dinding masjid dan tembok tinggi (Ketika mula-mula sampai kelihatan dinding masjid di bahagian hadapan (arah kiblat) dengan tembok nampak seperti bersambung). Setelah melalui lorong itu, akhirnya saya menemui pintu pagar ke sebuah kawasan perkuburan yang agak kecil. Alhamdulillah, Makam Tokku Tuan Besar juga dapat dilihat jelas dari pintu pagar ini.



Lokasi

Di belakang Masjid Tokku Tuan Besar Cabang Tiga, Kuala Terengganu. Lebih kurang 5KM dari pusat bandar Kuala Terengganu. Melalui Jalan Sultan Mohammad sehingga persimpangan Kuala Berang (Kanan), Cabang Tiga/ Losong (kiri) dan simpang ke Manir /Kota Bharu (jalan terus). Ambil simpang ke kiri Cabang Tiga/ Losong. Kurang 1KM dari persimpangan tersebut akan kelihatan Masjid Tokku Tuan Besar. Makam terletak di belakang masjid tersebut (menghadap kiblat).
Perkuburan di Belakang Masjid Tok Ku Tuan Besar

Keterangan

Syeikh Tokku Tuan Besar atau nama sebenarnya Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al Aidrus dilahirkan pada tahun 1785 dan meninggal dunia pada tahun 1878. Beliau merupakan ayahanda kepada seorang lagi ulama terkenal Terengganu Syeikh Tokku Paloh (Sayid Abdur Rahman bin Sayid Muhammad al-Aidrus) merupakan keturunan Nabi Muhammad Saw melalui Syaidina Hussein RA, Putera Syaidina Ali bin Abu Talib Kwj dengan Syaidatina Fatimah binti Rasulullah SAW.

Binaan Makam Tok Ku Tuan Besar
Pendidikan

Syeikh Tokku Tuan Besar mendapat pendidikan awal dari keluarganya yang terdiri daripada golongan alim -ulama pada masa itu. Beliau kemudiannya belajar dengan Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Rahim dari Pattani. Syeikh Tokku Tuan Besar juga pernah berguru dengan seorang lagi ulama terkemuka Pattani, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani sama ada ketika di Tanah Melayu dan juga semasa berada di Kota Mekah dan juga Saiyid Abdullah bin Umar bin Yahya.

 Seterusnya Syeikh Tokku Tuan Besar melanjutkan pelajaran ke Kota Mekah. Setelah puas menuntut ilmu di Kota Mekah, beliau pulang ke Terengganu untuk menyebarkan ilmu dan dakwah yang dipelajarinya dan menjadikan Kampung Cabang Tiga sebagai pusat pengajian.
Antara kitab-kitab hasil tulisannya adalah seperti Kanzul Ula, Jauharus Saniyah, Durrataini fi Tarjamati Kalimataisy Syahadataini, Tuhfatul Wildan, Sirratun Nabawiah, Salasilah Ratib al-Hadad dan sebagainya.

Beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan Sultan Omar (1839-1876) dan dilantik sebagai ulama penasihat istana dengan gelaran Paduka Raja Indera.

Syeikh Tokku Tuan Besar meninggal dunia dalam tahun 1878. Wallahu A’lam.


Makam Tok Ku Tuan Besar

No comments:

Post a Comment