Catatan 1
September 2012
Saya dan keluarga sebenarnya dalam perjalanan
ke Bahau, Negeri Sembilan untuk menghadiri majlis kahwin teman sepejabat isteri
saya apabila secara tak sengaja terlihat papan tanda berwarna coklat yang
menunjukkan arah ke Makam Syeikh Tuan Tulis di simpang jalan masuk Kampung
Talang, Kuala Pilah. Memandangkan kami telah memutuskan untuk bermalam di Bahau, saya merancang untuk
menziarahi Makam Syeikh Tuan Tulis
selepas urusan Check In di hotel
penginapan selesai.
Setelah menghantar isteri dan anak ke hotel
penginapan, saya bergegas ke Tanjung Ipoh, Kuala Pilah untuk menziarahi Makam
Syeikh Tuan Tulis. Ini merupakan makam pertama yang saya ziarahi yang menjadi
titik tolak pada episod ziarah makam seterusnya.
Lokasi
Makam Syeikh Tuan Tulis terletak di Kampung
Kuala Talang, Tanjung Ipoh Kuala Pilah, lebih kurang 10 kilo meter dari Pekan Kuala Pilah. Sekiranya
melalui jalan dari arah Ulu Bendul/ Seremban ke Kuala Pilah, simpang masuk ke
kampung Talang adalah di sebelah kiri. Jarak dari simpang tersebut ke Makam
Syeikh Tuan Tulis lebih kurang 1 kilo meter. Makam Syeikh Tuan Tulis terletak
di dalam kawasan Masjid Tuan Tulis (menghadap mihrab), iaitu dalam binaan
berbumbung berwarna kuning.
Keterangan
Syeikh Tuan Tulis atau nama sebenar beliau
Haji Ismail Hussein merupakan seorang tokoh agama dan wali Allah yang terkenal
di Negeri Sembilan, khasnya di sekitar Kuala Talang, Kuala Pilah. Beliau
dilahirkan pada tahun 1840 (ada juga keterangan yang menyebut dalam tahun
1860-an) dan meninggal dunia pada tahun 1922, dalam bulan Ramadhan ketika
berzikir selepas solat subuh. Beliau telah membina masjid yang dikenali sebagai
masjid Tuan Tulis di Kuala Talang, Tanjung Ipoh Kuala Pilah dan masih digunakan
sehingga kini.
Beliau
dilahirkan dari keluarag yang miskin. Kecintaannya terhadap ilmu agama
mendorongnya berjalan kaki sampai ke Termerloh, Pahang untuk berguru dengan Tok Ayah Man (Tuan Haji Abdul Rahman), seorang ulama terkemuka pada zaman itu.
Beliau
dikenali dengan gelaran Tuan Tulis kerana kerajinan dan ketekunannya menyalin
dan semula kitab yang dipelajarinya. Ada pendapat mengatakan beliau menyalin
dan menulis kitab-kitab yang dipelajari yang dipinjam dari kawan sepengajian
kerana tidak mampu membelinya. Pendapat lain mengatakan beliau menjadi
jurutulis gurunya.Tok Ayah Man, kerana itu Tok Ayah Man memanggilnya Ismail
Tulis . Antara kitab yang disalin dan ditulis adalah Kitab Tafsir Jalalain dan
30 juzuk al-Quran.
Dakwat
yang digunakan oleh Syeikh Tuan Tulis diperbuat dari campuran arang para dan
getah limau kasturi. Penanya pula dibuat daripada bilah segar kabung. Syeikh Tuan Tulis juga mempunyai hubungan
rapat dengan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan pada masa itu, Tuanku Muhammad ibnu Tuanku Antah.
Binaan makam beliau dibina oleh Tuanku Muhammad ekoran satu kejadian aneh yang
dialami baginda semasa mendapatkan rawatan di London dalam tahun 1925.
Kononnya ketika beliau sedang mendapatkan
rawatan di sana, Syeikh Tuan Tulis datang menziarahinya dan meminta segelas air
dan berdoa. Air yang telah didoakan disapu ke bahagian anggota tubuh yang sakit
manakala bakinya diminum olleh Tuanku Muhammad. Selepas mendapat rawatan secara
tradisional dari Syeikh Tuan Tulis, baginda merasa sihat dan beransur
pulih.Kemudian baginda masuk ke bilik untuk mengambil sesuatu sebagai hadiah
kepada Syeikh Tuan Tulis. Apabila keluar
dari bilik tersebut, baginda mendapati Syeikh Tuan tulis telah ghaib dan ketika
itu barulah baginda menyedari bahawa Syeikh Tuan Tulis sebenarnya telah
meningggal dunia tiga tahun lalu (1922). Setelah pulang dari London, baginda
memerintahkan agar bangunan di bina ke atas makam wali Allah tersebut.
Syeikh
Tuan Tulis dikenali sebagai seorang yang zuhud, warak dan ‘alim. Beliau
sentiasa menjadi rujukan masyarakat sekeliling sekiranya ada masalah. Syeikh
Tuan Tulis juga suka bergaul dengan orang jahil dan selalu berdakwah kepada
mereka. Beliau juga digambarkan suka berkain pelikat atau berseluar jerut,
berbaju melayu atau baju labuh dan sentiasa berkopiah.
Banyak peristiwa luar biasa yang pernah terjadi
yang dikaitkan dengan karomah Syeikh Tuan Tulis semasa hidupnya. Suatu ketika
ketika hendak bercukur, tukang cukur beliau masuk ke rumah untuk mengasah cukur
yang tumpul, dan ketika kembali beliau mendapati Syeikh
Tuan Tulis tiada ditempatnya. Setelah beberapa lama, Syeikh Tuan Tulis kembali
dan ketika ditanya ke mana beliau pergi, beliau dengan selamba mengatakan telah
pergi ke Mekah untuk membantu memadamkan kebakaran di sana. Kejadian ini
berlaku dalam tahun 1900.
Ketika anak muridnya berehat setelah mengerjakan
bendang, mereka disajikan dengan buah tamar yang segar, seperti baru dipetik
dari pohon oleh Syeikh Tuan Tulis, sedangkan tidak terdapat pohon tamar di
sekitarnya.
Syeikh Tuan Tulis juga gemar menternak kerbau
dan kerbaunya dibiarkan bebas berkeliaran tanpa ditambat. Walau bagaimanapun
kerbau-kerbau tersebut tidak pernah memakan padi orang kampung. Diceritakan
Syeikh Tuan Tulis telah berpesan kepada kerbaunya agar hanya memakan rumput dan
jangan memakan padi orang.
Di
samping menternak kerbau, Syeikh Tuan Tulis juga memelihara beratus-ratus ekor
burung merpati dan ketika meninggal dunia, beratus-ratus burung merpati
tersebut mengiringi jenazahnya ke tempat pengebumian,melindunginya dari
pancaran matahari. Allahu’alam.
Al fatihah pada tuan tulis
ReplyDeleteAllahumagfirlahu warhamhu wa'afihi wagfu'anhu.Allah Hu.
ReplyDeleteMasha Allah. Penulisan yang mudah difahami. Teringin nak ziarah makamnya.
ReplyDelete