Catatan 22
September 2012
Ziarah ke Makam Syeikh Muhammad Said al-Linggi di Ampangan, Negeri Sembilan bersama-sama dengan kawan sepejabat, Mohd Azelin. Sebenarnya ziarah ke makam ini telah dirancang pada waktu yang lain kerana kami sebenarnya terlibat dengan Program Pelancaran UTC Kuala Lumpur mewakili Jabatan. Memandangkan program tersebut bermula agak lewat dan tidak menemui peserta-peserta yang lain, kami mengambil keputusan untuk “angkat kaki” dan sama-sama bersetuju untuk ke Seremban melalui Lebuhraya Kajang- Seremban (LEKAS).
Lokasi
Dari Kuala Lumpur, kami melalui Lebuhraya
LEKAS dan keluar di Persimpangan Ampangan/ Seremban, melalui Jalan Jelebu
menghala ke Ampangan/ Pusat Bandar Seremban. Makam Syeikh Muhammad Said
al-Linggi terletak di Tanah Perkuburan yang terletak di atas Bukit (kiri) Jalan
Ampangan. Papan tanda Makam Haji Mohd Said sebenarnya merujuk keseluruhan
kawasan perkuburan tersebut. Memandangkan, kawasan perkuburan tersebut agak
luas, mungkin agak sukar untuk mengenal pasti yang mana satu Makam sebenar
Syeikh Muhammad al-Linggi.
Makam Syeikh Muhammad Said al-Linggi terletak
di sebelah kiri Jalan masuk ke kawasan perkuburan tersebut, agak jauh ke bawah.
Petunjuk makam adalah sepohon durian, kawasan perkuburan berpagar putih (makam
Syeikh Muhammad Said al-Linggi juga menempatkan kubur ahli keluarganya) dan
yang paling penting terdapat binaan kecil di sisi (luar pagar) makam.
Keterangan
Syeikh Muhammad Said bin Haji Jamauluddin bin
Haji Idris dilahirkan di Kota Mekah pada tahun 1875. Bapanya Syeikh Haji Jamaluddin merupakan seorang
ulama Negeri Sembilan yang pernah mengajar di Kota Mekah manakala ibunya Hajah Saffiah merupakan anak kepada
seorang ulama pattani yang terkenal, Syeikh
Muhammad Saleh al-Pattani. Ibunya juga mempunyai ilmu agama yang mantap,
seorang Qurra' (Pembaca Quran) yang baik bacaannya dan pernah menjad guru
qiraat semasa menetap di Mekah mahupun di Pattani.
Untuk mengenali Makam Syeikh Mohd Said, cari binaan kecil seperti masjid di sisi makam. |
Pendidikan
Pada
tahun 1882, ketika beliau berusia 7 tahun, ibunya membawa beliau pulang ke
Pattani. Peringkat awal zaman kanak-kanaknya, Syeikh Muhammmad Said dididik
oleh ibunya. Ketika berusia 12 tahun, Syeikh Muhammad Said dihantar berguru
dengan ulama-ulama Pattani seperti Tuan
Minal (Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Pattani), Tok Semel atau Dato' Semela (Haji Awang), dan ulama Kedah iaitu Dato' Nahu dan Syeikh Muhammad Nuh.
Ketika
berumur 17 tahun bersamaan tahun 1895, Syeikh Muhammad Said berangkat ke Mekah
untuk meneruskan pengajiannya. Beliau berguru dengan ramai alim-ulama semasa di
sana seperti Syeikh Muhammad bin Sulaiman
Hasbullah al- Makki, Syeikh Muhammad
Nawawi al-Bantani, Sayyid Abi Bakra
Syata, Syeikh Ahmad al-Manshawi, Syeikh Umar al-Shami, Syeikh Muhammad Said bin Muhammad al-
Babasil (Mufti Syafie), Syeikh Abdul
Karim al-Daghastani, Syeikh Muhammad
bin Yusuf al-Khayyat, Syeikh Muhammad
Ali Kutan,Syeikh Wan Ahmad bin
Muhammad Zain Pattani dan sebagainya.
Syeikh
Muhammad Said al-Linggi juga pernah berguru dengan Mufti Syafie di Madinah Sayyid Ja'afar al-Barzanji semasa
menziarahi Makam Baginda Nabi SAW. Beliau juga pernah mengembara ke Baitul
Maqdis dan Mesir. Di Mesir Syeikh Muhammad Said memperdalamkan ilmu dalam fekah
empat mazhab di samping ilmu-ilmu syara', naqal dan aqal dan berguru dengan
ulama Mesir seperti Syeikh al-Jami'al Azhar: Syeikh Shamsuddin al-Anbani dan Syeikh
Ahmad al-Rifai'e al-Maliki.
Syeikh
Muhammad Said kembali ke Mekah dan berguru dengan Syeikh Muhammad bin Ahmad al- Dandarawi untuk mendalami ilmu tarekat.
Pada tahun 1901 Syeikh Muhammad Said telah diijazahkan dengan Tarekat Ahmadiah
ini oleh gurunya.
Rakan-rakan seperguruannya semasa menuntut di
Mekah merupakan ulama-ulama Melayu tersohor seperti Tuan Mukhtar Bogor, Tuan
Husein Kedah, Pat Wan Sulaiman Kedah,
Haji Abdullah Pat Him Seberang Prai, Syeikh Utsman bin Abdul Wahab Sarawak
dan Sidi Muhamad.
.
Makam Syeikh Mohd Said berserta ahli keluarga dipagar. |
Pulang ke
Negeri Sembilan
Syeikh Muhammad Said kembali ke Tanah Melayu
pada tahun 1920-an dan menetap di Ampangan, Seremban Negeri Sembilan. Di sini
beliau mengajar agama dan mengembangkan ajaran Tarekat Ahmadiah. Syeikh
Muhammad Said juga telah mengembara ke Kedah, Pahang, Johor, Singapura,
Kelantan, Siam dan Indo Cina untuk melaksanakan misi dakwah dan mengembangkan
ajaran Tarekat Ahmadiah.
Selain mengembara, Syeikh Muhammad Said juga
telah menulis dan menterjemahkan beberapa kitab. Antara kitab-kitab yang
dikarang oleh beliau adalah Risalat al- Fawa’id
(terjemahan), Al-Ahzab al-Irfaniyyat wa
al-Awrd al-Nuraniah (himpunan zikir dan doa), Kasyf al- Ghiba an- Haqiqat al- Riba, Sullam at-Tarif ila Ilm at- Tasrif, Risalah Fath, Makalah kaifiat
mengerjakan tarawih 10 rakaat, Perjalanan
mendirikan Jumaat, Wazifah-wazifah
bagi orang yang salik pada permulaan suluknya dan sebagainya.
Syeikh Muhammad Said al-Linggi meninggal
dunia pada 19 September 1926 ketika berusia 53 tahun. Beliau dimakamkan di
Tanah Perkuburan Ampangan. Dikatakan lebih kurang 5000 orang mengiringi
jenazahnya termasuk Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan pada masa itu, Tunku
Muhammad.
Syeikh Muhammad Said dikatakan berkahwin
sebanyak 9 kali dan dikurniakan 32 orang anak.
Antara anak-anaknya yang tersohor adalah Syeikh Haji Abdullah (khalifah Tarekat Ahmadiah selepas
kematiannya), Syeikh Ahmad al-Linggi
(Mufti Negeri Sembilan yang pertama), Haji
Mahadi (Pengarah dan pelakon yang terkenal sekitar era 1950/60-an) dan
sebagainya.
Keistimewaan
sebagai Wali Allah
Sebagai seorang Wali Allah, Syeikh Muhammad Said
al-Linggi dikurniakan beberapa keistimewaan atau karomah. Antara peristiwa
luar biasa yang pernah dicatatkan berkaitan beliau adalah sewaktu menziarahi
Makam Nabi SAW di Madinah. Ketika mengucapkan salam kepada Nabi SAW, tiba-tiba
terdengar suara dari Makam Rasul mulia itumenjawab salam beliau.
Semasa menjalankan misi dakwah di Kota Bahru,
Kelantan ketika hendak menyeberangi Sungai Kelantan, pemilik bot yang hendak
ditumpangi ke seberang tidak membenarkannya menaiki bot tersebut kerana muatan
telah penuh. Beliau diminta menunggu bot berikutnya. Namun apabila bot tersebut
sampai di seberang, pemilik dan semua penumpang amat terkejut apabila mendapat
beliau telahpun berada seberang sungai tesebut.
Sewaktu berdakwah di Kedah, Syeikh Muhammad
Said dikatakan berjaya menjinakkan buaya yang selalu mengganas di sebatang
sungai di negeri tersebut. Beliau berkeras mandi ke sungai berkenaan walaupun
telah ditegah oleh penduduk kampung kerana buaya-buaya di sungai berkenaan
ganas. Penduduk kampung berkenaan tergamam apabila melihat Syeikh Mohammad Said
tidak diapa-apakan oleh buaya-buaya yang berkeliaran di sekitarnya. Malahan beliau
dilihat mengusap lembut buaya-buaya berkenaan.
Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bersama
serombongan orang, ketika itu cuaca agak panas dan kebanyakan semua orang dalam
rombongan tersebut merasa dahaga. Namun mereka tidak mendapati air untuk
diminum. Kebetulan ada dikalangan ahli rombongan yang membawa cerek kosong.
Syeikh Muhammad Said mengambil cerek tersebut dan berdoa. Setelah itu beliau
menuangkan cerek itu seolah-olah ianya berisi. Sekonyong-konyongnya keluarlah
air dari cerek tersebut dan cukup untuk menghilangkan dahaga kesemua rombongan
tersebut
Suatu ketika, tiga pemuda berhajat menemui
Syeikh Muhammad Said untuk mengajukan permasalahan masing-masing. Kebetulan
ketika mereka sampai bertepatan masuknya waktu solat. Lalu mereka solat
berimamkan Syeikh Muhammad Said dan bercadang mengajukan masalah masing-masing
setelah selesai solat tersebut. Selepas solat, berwirid dan berdoa, Syeikh
Muhammad Said memjawab permasalahan ketiga-tiga pemuda tersebut tanpa sempat
mereka mengemukakannya terlebih dahulu kepada beliau.
Wallahu
a’lam.
Makam Syeikh Mohd Said |
madad ya sidi sheikh said! Al-Fatihah!
ReplyDeleteAlhamdulillah..trima kasih ya
ReplyDeleteAlmarhum meninggalkan zuriat yang hebat-hebat
ReplyDelete