Showing posts with label Travelog. Show all posts
Showing posts with label Travelog. Show all posts

Tuesday, 2 October 2012

Keropok Lekor Selekoh Sungai Rengas, Kuala Terengganu

Semasa menjejaki makam Tokku Pulau Manis semalam (29 September 2012), saya sempat singgah di Gerai Keropok Lekor Selekoh Sungai Rengas untuk bertanyakan arah ke Pulau Manis kepada salah-seorang pelanggan. Ketika itu saya memasuki Simpang ke Kampung Pulau Musang. Pelanggan tersebut sempat mempromosikan Keropok Lekor Sungai Rengas yang dikatakannya paling sedap. Walau bagaimanapun saya perlu bergegas ke Pulau Manis memandangkan cuaca yang mendung dan waktu asar juga telah masuk.
Keropok Lekor Sungai Rengas

Keesokannya (30 Sept 2012), sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur saya membawa isteri saya untuk membeli dan mencuba keropok lekor Sungai Rengas yang dikatakan sedap itu.
Pelanggan sedang beratur

Lokasi Keropok Lekor Panas Selekoh Sungai Rengas (seperti yang tercatat pada Banner yang tergantung di kedai tersebut lebih kurang 15KM dari pusat bandar Kuala Terengganu. Panduan lebih mudah ke sana ialah dengan mengambil jalan Kuala Terengganu -Kuala Berang dan sekiranya sampai di persimpangan lampu isyarat Pulau Musang, belok ke kanan (sekiranya dari arah Kuala Terengganu. Jalan terus sehingga sampai di satu selekoh (lebih kurang 3KM dari persimpangan jalan utama). Keropok Lekor Sungai Rengas betul-betul di selekoh tersebut.

Pekerja sedang membuat keropok lekor
 

Keropok lekor sedang direbus

Bukit Puteri, Kuala Terengganu

Bukit Puteri Kuala Terengganu
 
Sekitar Bukit Puteri
 
Pemandangan menghadap laut dari Bukit Puteri
 
30 September 2012 (Ahad) - Selepas bersarapan dan Check Out dari hotel penginapan, saya kami sekeluarga singgah sebentar di Bukit Puteri sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur. Eskalator  disediakan sehingga di tingkat atas Bazaar Warisan, manakala selebihnya kami mendaki tangga sehingga ke kaunter tiket. Bayaran masuk hanya RM1.
Bukit Puteri merupakan sebuah setinggi 200M yang terletak di Kuala Terengganu. Lokasinya terletak di belakang Bangunan Bazaar Warisan, berhampiran dengan Pasar Payang dan menghadap muara Sungai Terengganu.
Pintu Kubu

Di atas bukit ini, didirikan sebuah kubu kecil yang dibina sebagai kota pertahanan. Semasa era pemerintahan Sultan Mansur Shah II (1831-1836), Sultan Muhammad I (1836-1839) dan Sultan Omar (1839-1876), ia dijadikan kubu pertahanan perang saudara. Selain itu ia juga berfungsi sebagai kota pertahanan dari serangan musuh luar.
Tiang Bendera

Di atas bukit ini terdapat sebatang tiang bendera yang telah didirikan oleh Sultan Zainal Abidin III pada tahun 1899 setinggi 18 Meter dan dan ditanam sedalam 2 Meter. Walau bagaimanapun tiang yang ada sekarang dibina semula semasa pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Tiang bendera ini digunakan untuk menaikkan bendera diraja pada hari-hari kebesaran..
Rumah Api

Selain lain itu terdapat juga rumah api di atas bukit ini yang didirikan sebagai panduan kepada kapal-kapal yang belayar masuk/ keluar ke muara Sungai Terengganu.
Singgahsana

Singgahsana yang dibina oleh Sultan Omar sebagai tempat untuk membincangkan strategi dengan para pembesar.
Lubang simpanan ubat bedil

Gua atau bilik bawah tanah bersebelahan Tiang bendera (di belakang singgahsana) yang digunakan untuk menyimpan ubat bedil.
Meriam beranak
 

Terdapat beberapa meriam yang menghala ke laut dan darat. Antaranya sepasang meriam yang berlainan saiz yang dikenali sebagai Meriam beranak yang menghadap laut. Meriam bersaiz besar dikenali sebagai Meriam ibu manakala saiz kecil dikenali sebagai meriam anak.
Genta Besar
 

Genta atau loceng besar yang terdapat di bukit ini sejak zaman raja-raja dahulu lagi. Genta akan ditukar dengan yang baru sekiranya rosak. Genta yang ada sekarang dibuat semasa pemerintahan Sultan zainal Abidin III pada tahun 1908.
 
Pemandangan sebahagian Bandar Kuala Terengganu dari Bukit Puteri
 

Monday, 24 September 2012

Teluk Intan

Catatan lawatan keluarga ke Teluk Intan pada 15 September 2012

Lokasi
Teluk Intan terletak di Selatan Negeri Perak dan merupakan pusat pentadbiran bagi Hilir Perak.
 
Sejarah
Teluk Intan kononnya mendapat nama dari seorang janda yang cantik bernama Mak Intan. Beliau merupakan seorang saudagar berasal dari Mandahiling, Sumatera dan bertanggunjawab meneroka Teluk Intan sekitar awal abad ke-19. Asalnya teluk Intan dikenali dengan nama Mak Intan. Walau bagaimanapun semasa pendudukan Inggeris, Teluk Intan dinamakan Teluk Anson, bersempena dengan nama Gabenor Inggeris yang tiba di Teluk Intan pada masa itu, Jeneral Archibald Anson. Mulai 1 Januari 1982, namanya ditukar semula menjadi Teluk Intan.
 
Menara Condong Teluk Intan




Terletak di tengah-tengah bandar Teluk Intan. Seperti Menara Pisa di Itali, kedudukan menara ini condong. Ia dibina pada tahun 1885 oleh Leong Choon Chong. Menara ini setinggi 85 kaki dengan 110 anak tangga dan berfungsi sebagai Tangki takungan air. Sebuah jam besar sitempatkan di menara ini. Kini Menara ini tidak digunakan lagi dan menjadi salah-satu tarikan pelancongan di Teluk Intan.
Condong




 
 
 
 
 
 
 
Batu Bertenggek

Batu ini terletak di Hadapan bangunan Kompleks SKOMK (berhadapan dengan simpang empat) di tepi jalan masuk ke bandar Teluk Intan. Batu ini dpercayai diletakkan oleh seorang askar Inggeris semasa perang Dunia Kedua. Kononnya asal batu ini hanya sebesar kotak mancis tetapi semakin membesar dan kini sebesar kereta kancil. Sekarang, batu Bertenggek ini dijadikan tugu untuk memperingati pengorbanan askar semasa perang dunia kedua.


Foto-foto lain

River Front. (Bawah) Pemandangan Sungai Perak dari River Front


Balai Polis lama

Saturday, 22 September 2012

Istana Besar Seri Menanti Kuala Pilah, Negeri Sembilan

(Lawatan bersama keluarga semasa Aidil Fitri 2012 yang lalu)
 
 
Muzium Istana Besar Seri Menanti
Lokasi: Di Kampung Seri Menanti, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah Negeri Sembilan. Lebih kurang 10-15 KM dari Pekan Kuala Pilah.

Bahagian depan (atas) dan pandang sisi (Bawah)
 
Asalnya merupakan kediaman rasmi Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan. Setinggi empat tingkat dan diperbuat daripada kayu. Pelan asal istana ini telah direka oleh dua orang Tukang Melayu, Kahar dan Taib. Kemudian ianya telah diperincikan semula oleh Ketua Pelukis Pelan dari Public Work Department Kuala Pilah pada masa itu Mr.Woodford dan diluluskan oleh Pejabat Daerah dan Residen pada tahun 1902.


Ukiran pada dinding dan tiang
Add caption

 
Istana besar ini menggantikan Istana Pulih yang telah terbakar semasa pertempuran di antara Yamtuan Antah dengan pasukan Inggeris. Pembinaan istana ini bermula pada tahun 1902 dan disiapkan pada tahun 1908 dengan kos $45,000.

Replika Batu Kasur (Batu Timbang)
 

Binaan istana ini mengikut ciri-ciri binaan Minangkabau. Istana ini diperbuat daripada kayu sepenuhnya dan tidak menggunakan sebarang paku. Tingkat pertama mempunyai 4 bilik dan beranda sepanjang 160 kaki. Manakala tingkat kedua mengadungi 3 bilik yang didiami oleh kerabat Yang DiPertuan. Tingkat ketiga dan keempat mempunyai 1 bilik. Bilik Yang Dipertuan Besar terletak di tingkat ketiga manakala tingkat keempat menyimpan khazanah raja. Istana ini juga mempunyai 99 tiang setinggi 19.9 kaki dengan 4 tiang tengahnya setinggi 170 kaki.

Replika Batu Bertikam
 

Pada tahun 1931, sebuah Istana baru yang lebih moden telah dibina di kawasan berhampiran. Majlis Agama Islam Negeri Sembilan menjadikan istana ini sebagai  Sekolah Menengah Agama Tinggi pada tahun 1959 hingga 1964. Selepas itu Istana ini dibiarkan kosong sehinggalah diisytiharkan sebagai Muzium Diraja pada tahun 1992 oleh DYMM Tuanku Jaafar ibni Tuanku Abdul Rahman dan ditadbir oleh Jabatan Muzium, Negeri Sembilan.

Kompleks Sejarah Pasir Salak, Negeri Perak pada 16 September 2012.

(Sempena cuti umum Hari Malaysia pada 16 September 2012 yang lalu, saya dan keluarga mengambil kesempatan untuk melancong ke Teluk Intan, Perak. Kami tidak melepaskan peluang untuk melawat Komplek Sejarah Pasir Salak, memandangkan jarak di antara Teluk Intan dan Pasir Salak hanya lebih kurang 35KM (kira-kira setengah jam perjalanan). Kompleks tersebut terletak di pinggir Sungai Perak. Banyak maklumat dan informasi sejarah yang dapat diraih dari lawatan tersebut.)

Pintu masuk.
Sejarah Pasir Salak
Campur tangan Inggeris di Perak bermula apabila berlaku perbalahan di antara Raja Abdullah dan Raja Ismail, selepas kemangkatan Sultan Ali pada tahun 1871. Raja Abdullah sebagai Raja Muda sepatutnya dilantik sebagai sultan Perak yang baharu, tetapi memandangkan beliau tidak menghadiri upacara pengkebumian Sultan Ali, Raja Bendahara, Raja Ismail telah dilantik sebagai Sultan Perak yang baharu. Perlantikan ini menyebabkan ketidakpuashatian Raja Abdullah. Ketidakpuashatian ini mendorong Raja Abdullah meminta bantuan Inggeris. Pada masa yang sama juga perbalahan dua kumpulan kongsi gelap masyarakat Gee Hin pimpinan Chin Ah Yam dan kumpulan Hai San pimpinan Chung Keng Quee kerana berebut lombong bijih timah menimbulkan rasa kurang senang kepada pihak Inggeris.
Pemandangan Sungai Perak dari Kompleks

 Pada 20 Januari 1874, Perjanjian Pangkor telah ditandatangani di antara Raja Abdullah dengan para pembesarnya dengan Andrew Clarke, wakil Inggeris di Pulau Pangkor. Antara syarat perjanjian tersebut Raja Abdullah diiktiraf sebagai sultan. Seroang Residen Inggeris akan dilantik untuk menasihati sultan adalam aspek pentadbiran negeri kecuali hal-hal berkaitan agama Islam dan adat Melayu. Perkara berkaitan pungutan cukai ditetapkan dengan nasihat Residen Inggeris. Sehubungan dengan itu JWW Birch dilantik sebagai Residen pertama Negeri Perak.
Bangunan Terowong Waktu. Galeri sejarah Pasir Salak dan sejarah negara dipamerkan secara diodrama. Bangunan ini juga mempamerkan pelbagai jenis keris.


Di hadapan pintu masuk Bangunan Terowong Waktu, anda akan melihat objek ini. Ia merupakan jam lama.

 Selepas dilantik menjadi Residen, Birch meminta Raja (Sultan) Abdullah supaya memandatangani satu perisytiharan menyerahkan kuasa memungut cukai kepadanya. Ini akan menyebabkan para pembesar yang sebelum ini berkuasa memungut cukai akan kehilangan kuasa tersebut. Perkara ini tidak disenangi oleh Raja Abdullah dan para pembesar. Setelah beberapa kali menolak, Raja Abdullah terpaksa menandatangani perisytiharan tersebut setelah diugut akan kehilangan takhtanya. Ini menimbulkan kemarahan Raja Abdullah dan para pembesar yang kehilangan hak mengutip cukai.
Tempat Birch dibunuh.
 

 Dalam tempoh Mac hingga September 1875, Sultan Abdullah mengadakan sekurang-kurangnya 7 pertemuan (Mesyuarat) sulit dengan para pembesarnya untuk membincangkan pembunuhan JWW Birch. Antara pembesar yang terlibat dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut adalah Dato Maharajalela, Dato Sagor dan Laksamana Mohamad Amin. Dalam Mesyuarat terakhir pada 30 Oktober 1875 di rumah Dato Maharajalela, keputusan muktamad telah dicapai, JWW Birch mesti dibunuh pada 2 November 1875, semasa melawat Pasir Salak pada tarikh tersebut. Dato Maharajalela yang telah diberi kuasa membunuh Birch telah menganugerahkan baju, tengkolok dan pedang kepada Pandak Indut sebagai wakilnya untuk membunuh Birch.
Tapak Kubu Dato Maharajalela

 Pada malam 1 November 1875, Birch dan rombongannya tiba di Pasir Salak dengan perahu kenaikannya. Keesokan harinya Birch mengarahkan juru bahasanya Mat Arshad agar menemui Dto Maharajalela untuk meminta pembesar itu bertemu dengannya. Walau bagaimanapun Dato Maharajalela menolak dan perkara ini disampaikan kepada Birch. Birch mengarahkan agar kerja-kerja menampal poster perisyrtiharan mengambilalih tugas memungat cukai diteruskan.

 Tindakan menampal poster tersebut menimbulkan kemarahan penduduk Pasir Salak tetapi tidak dihiraukan oleh Mat Arshad. Keadaan semakin tegang apabila poster yang ditampal di diding kedai emas dikoyakkan oleh Pandak Indut dan Mat Arshad seperti tidak mengambil kisah dan meneruskan kerja-kerja menampal poster yang baru. Sekali lagi Pandak Indut mengoyakkan kertas yang baru ditampal. Namun Mat Arshad masih tidak mengendahkan kemarahan Pandak Indut dan terus menampal poster yang baru. Akibatnyanya Pandak Indut menikam perut Mat Arshad dengan kerisnya.

 Tindakan Pandak Indut tersebut telah membangkitkan semangat penduduk kampung. Sambil menjerit mereka mula mengamuk menyerbu perahu kenaikan Birch. Askar yang mengawal Birch merasa ketakutan melihat gerombolan penduduk kampung yang menyerbu ke arah perahu kenaikan Birch dan segera melarikan diri.

 Pada hari tersebut, Birch yang baharu sahaja balik dari lawatannya di Pasir Salak melihat kerja-kerja menampal poster perisytiharkan mengambilalih kerja-kerja memungut cukai, sedang mandi di rumah rakit berdekatan perahu kenaikannya. Pada waktu itulah Pandak Indut merejam lembing tepat ke arah dada Birch. Birch terjatuh ke dalam sungai dan masih bernyawa. Beliau cuba berenang ke tepi sungai untuk meminta bantuan dan pada masa yang sama Si Puntum menerpa ke arahnya dan menetak kepala Birch dengan parang panjangnya. Mayat Birch tenggelam dan hanya ditemui pada keesokkan harinya lebih kurang 182.9 meter dari tempat kejadian.
Tugu Perisytiharan Pahlawan Perak
 
 Semasa kejadian askar yang dipimpin Lt. Abbot yang sepatutnya mengawal dan melindungi Birch sedang berburu di Kampung Gajah.

masjid lama

 
Surau lama

 
Nota: Foto Rumah Kutai tidak dapat disiarkan kerana "hilang" dari kamera.