Wednesday 10 October 2012

Makam Dol Said, Taboh, Naning Melaka

Catatan 3 September 2012 – Taboh, Naning, Melaka



Masjid Dol Said di Naning



Tujuan lawatan ke Melaka kali ini sebenarnya bukan untuk menyelongkar makam, tetapi untuk menyelongkar tiga masjid tertua di Malaysia, Masjid Kampung Hulu, Masjid Kampung Keling dan Masjid Tengkera. Walau bagaimanapun, memandangkan saya akan melalui Tol Simpang Ampat dan Alor Gajah, saya memasukkan Makam Dol Said sebagai salah-satu destinasi lawatan saya kali ini kerana jarak dari Plaza Tol Simpang Ampat dengan Taboh, Naning amat dekat.

Lokasi
Taboh, Naning. Di bulatan selepas tol Simpang Ampat ambil simpang ke kanan (di sini terdapat papan tanda Makam Dol Said akan menunjukkan arah ke kanan). Lebih kurang 500M selepas bulatan akan kelihatan satu lagi papan tanda berkenaan dan sebuah masjid, iaitu Masjid Dol Said. Makam pahlawan tersebut terletak di kawasan perkuburan di belakang masjid berkenaan.
Tanah Perkuburan di belakang Masjid

Sejarah

Dol Said @ Abdul Said dilahirkan pada 1773 di Naning, Alor Gajah berketurunan Suku Semelanggang. Beliau merupakan Penghulu Naning yang ke-9, menggantikan Penghulu Anjak pada tahun 1799 ketika berusia 26 tahun. Beliau mempelajari ilmu persilatan sejak berusia 6 tahun lagi. Disamping hebat dalam ilmu persilatan, beliau juga cerdas mengaji ilmu agama.









Penentangan Dol Said terhadap British berpunca daripada keengganannya untuk menyerahkan 1/10 daripada hasil pertanian kepada Inggeris sebagai cukai. Beliau berpendapat Naning adalah sebuah wilayah yang merdeka dan tidak perlu membayar cukai kepada pihak Inggeris. Sebaliknya pihak Inggeris menegaskan Naning merupakan sebahagian dari Melaka yang ditadbirnya dan semua peraturan dan undang-undang di Melaka berkutkuasa di Naning.
Batu nesan

Akibat keengganan Dol Said membayar cukai tersebut, pada 15 Julai 1831 Inggeris telah mengisytiharkan Dol Said sebagai penderhaka dan menghantar angkatan seramai 150 orang sepoi yang diketuai oleh Kapten Wyllie untuk mnyerang Naning tetapi dapat dipatahkan oleh Dol Said dan para pengikutnya. Sepanjang tempoh 18 hari perang Naning (6 Ogos 1831 – 24 Ogos 1831), Dol Said mendapat sokongan sehingga 1000 orang Melayu.

Walau bagaimanapun, pihak Inggeris tidak mengalah, pada tahun 1832 pihak Inggeris sekali lagi melancarkan serangan ke atas Naning. Namun kali ini Inggeris mendapat bantuan seramai 600 hulubalang dari Yamtuan Muda Raja Ali dari Rembau untuk mengalahkan Naning. Pada bulan Mac 1832, angkatan Inggeris yang diketuai oleh Kolonel Herbert menyerang Naning dan berjaya mengalahkannya setelah menawan Taboh, pusat pentadbiran Naning.

Dol Said berundur ke Seri Menanti dan akhirnya menyerah diri kepada Inggeris. Setelah berunding dengan Inggeris Dol Said diberikan pencen dan rumah di Melaka sementara Naning dimasukkan di dalam pentadbiran Melaka. Inggeris mengalami kerugian bernilai 100,000 Pound Sterling akibat peperangan tersebut.

Keterangan ringkas mengenai sejarah Dol Said

No comments:

Post a Comment