Wednesday 26 September 2012

Makam Syeikh Mohd Said Al-Linggi

Catatan 22 September 2012
 
Ziarah ke Makam Syeikh Muhammad Said al-Linggi di Ampangan, Negeri Sembilan bersama-sama dengan kawan sepejabat, Mohd Azelin. Sebenarnya ziarah ke makam ini telah dirancang pada waktu yang lain kerana kami sebenarnya terlibat dengan Program Pelancaran UTC Kuala Lumpur mewakili Jabatan. Memandangkan program tersebut bermula agak lewat dan tidak menemui peserta-peserta yang lain, kami mengambil keputusan untuk “angkat kaki” dan sama-sama bersetuju untuk ke Seremban melalui Lebuhraya Kajang- Seremban (LEKAS).


Lokasi

Dari Kuala Lumpur, kami melalui Lebuhraya LEKAS dan keluar di Persimpangan Ampangan/ Seremban, melalui Jalan Jelebu menghala ke Ampangan/ Pusat Bandar Seremban. Makam Syeikh Muhammad Said al-Linggi terletak di Tanah Perkuburan yang terletak di atas Bukit (kiri) Jalan Ampangan. Papan tanda Makam Haji Mohd Said sebenarnya merujuk keseluruhan kawasan perkuburan tersebut. Memandangkan, kawasan perkuburan tersebut agak luas, mungkin agak sukar untuk mengenal pasti yang mana satu Makam sebenar Syeikh Muhammad al-Linggi.

Makam Syeikh Muhammad Said al-Linggi terletak di sebelah kiri Jalan masuk ke kawasan perkuburan tersebut, agak jauh ke bawah. Petunjuk makam adalah sepohon durian, kawasan perkuburan berpagar putih (makam Syeikh Muhammad Said al-Linggi juga menempatkan kubur ahli keluarganya) dan yang paling penting terdapat binaan kecil di sisi (luar pagar) makam.

 



Keterangan
Syeikh Muhammad Said bin Haji Jamauluddin bin Haji Idris dilahirkan di Kota Mekah pada tahun 1875. Bapanya Syeikh Haji Jamaluddin merupakan seorang ulama Negeri Sembilan yang pernah mengajar di Kota Mekah manakala ibunya Hajah Saffiah merupakan anak kepada seorang ulama pattani yang terkenal, Syeikh Muhammad Saleh al-Pattani. Ibunya juga mempunyai ilmu agama yang mantap, seorang Qurra' (Pembaca Quran) yang baik bacaannya dan pernah menjad guru qiraat semasa menetap di Mekah mahupun di Pattani.


Untuk mengenali Makam Syeikh Mohd Said, cari binaan kecil seperti masjid di sisi makam.
Pendidikan

 Pada tahun 1882, ketika beliau berusia 7 tahun, ibunya membawa beliau pulang ke Pattani. Peringkat awal zaman kanak-kanaknya, Syeikh Muhammmad Said dididik oleh ibunya. Ketika berusia 12 tahun, Syeikh Muhammad Said dihantar berguru dengan ulama-ulama Pattani seperti Tuan Minal (Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Pattani), Tok Semel atau Dato' Semela (Haji Awang), dan ulama Kedah iaitu Dato' Nahu dan Syeikh Muhammad Nuh.
 Ketika berumur 17 tahun bersamaan tahun 1895, Syeikh Muhammad Said berangkat ke Mekah untuk meneruskan pengajiannya. Beliau berguru dengan ramai alim-ulama semasa di sana seperti Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al- Makki, Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani, Sayyid Abi Bakra Syata, Syeikh Ahmad al-Manshawi, Syeikh Umar al-Shami, Syeikh Muhammad Said bin Muhammad al- Babasil (Mufti Syafie), Syeikh Abdul Karim al-Daghastani, Syeikh Muhammad bin Yusuf al-Khayyat, Syeikh Muhammad Ali Kutan,Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain Pattani dan sebagainya.
 Syeikh Muhammad Said al-Linggi juga pernah berguru dengan Mufti Syafie di Madinah Sayyid Ja'afar al-Barzanji semasa menziarahi Makam Baginda Nabi SAW. Beliau juga pernah mengembara ke Baitul Maqdis dan Mesir. Di Mesir Syeikh Muhammad Said memperdalamkan ilmu dalam fekah empat mazhab di samping ilmu-ilmu syara', naqal dan aqal dan berguru dengan ulama Mesir seperti Syeikh al-Jami'al Azhar: Syeikh Shamsuddin al-Anbani dan Syeikh Ahmad al-Rifai'e al-Maliki.
 Syeikh Muhammad Said kembali ke Mekah dan berguru dengan Syeikh Muhammad bin Ahmad al- Dandarawi untuk mendalami ilmu tarekat. Pada tahun 1901 Syeikh Muhammad Said telah diijazahkan dengan Tarekat Ahmadiah ini oleh gurunya.
Rakan-rakan seperguruannya semasa menuntut di Mekah merupakan ulama-ulama Melayu tersohor seperti Tuan Mukhtar Bogor, Tuan Husein Kedah, Pat Wan Sulaiman Kedah, Haji Abdullah Pat Him Seberang Prai, Syeikh Utsman bin Abdul Wahab Sarawak dan Sidi Muhamad.

.

Makam Syeikh Mohd Said berserta ahli keluarga dipagar.


Pulang ke Negeri Sembilan

Syeikh Muhammad Said kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1920-an dan menetap di Ampangan, Seremban Negeri Sembilan. Di sini beliau mengajar agama dan mengembangkan ajaran Tarekat Ahmadiah. Syeikh Muhammad Said juga telah mengembara ke Kedah, Pahang, Johor, Singapura, Kelantan, Siam dan Indo Cina untuk melaksanakan misi dakwah dan mengembangkan ajaran Tarekat Ahmadiah.
Selain mengembara, Syeikh Muhammad Said juga telah menulis dan menterjemahkan beberapa kitab. Antara kitab-kitab yang dikarang oleh beliau adalah Risalat al- Fawa’id (terjemahan), Al-Ahzab al-Irfaniyyat wa al-Awrd al-Nuraniah (himpunan zikir dan doa), Kasyf al- Ghiba an- Haqiqat al- Riba, Sullam at-Tarif  ila Ilm at- Tasrif, Risalah Fath, Makalah kaifiat mengerjakan tarawih 10 rakaat, Perjalanan mendirikan Jumaat, Wazifah-wazifah bagi orang yang salik pada permulaan suluknya dan sebagainya.
Syeikh Muhammad Said al-Linggi meninggal dunia pada 19 September 1926 ketika berusia 53 tahun. Beliau dimakamkan di Tanah Perkuburan Ampangan. Dikatakan lebih kurang 5000 orang mengiringi jenazahnya termasuk Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan pada masa itu, Tunku Muhammad.
Syeikh Muhammad Said dikatakan berkahwin sebanyak 9 kali dan dikurniakan 32 orang anak.  Antara anak-anaknya yang tersohor adalah Syeikh Haji Abdullah (khalifah Tarekat Ahmadiah selepas kematiannya), Syeikh Ahmad al-Linggi (Mufti Negeri Sembilan yang pertama), Haji Mahadi (Pengarah dan pelakon yang terkenal sekitar era 1950/60-an) dan sebagainya.
Keistimewaan sebagai Wali Allah
Sebagai seorang Wali Allah, Syeikh Muhammad Said al-Linggi dikurniakan beberapa  keistimewaan atau karomah. Antara peristiwa luar biasa yang pernah dicatatkan berkaitan beliau adalah sewaktu menziarahi Makam Nabi SAW di Madinah. Ketika mengucapkan salam kepada Nabi SAW, tiba-tiba terdengar suara dari Makam Rasul mulia itumenjawab salam beliau.
Semasa menjalankan misi dakwah di Kota Bahru, Kelantan ketika hendak menyeberangi Sungai Kelantan, pemilik bot yang hendak ditumpangi ke seberang tidak membenarkannya menaiki bot tersebut kerana muatan telah penuh. Beliau diminta menunggu bot berikutnya. Namun apabila bot tersebut sampai di seberang, pemilik dan semua penumpang amat terkejut apabila mendapat beliau telahpun berada seberang sungai tesebut.
Sewaktu berdakwah di Kedah, Syeikh Muhammad Said dikatakan berjaya menjinakkan buaya yang selalu mengganas di sebatang sungai di negeri tersebut. Beliau berkeras mandi ke sungai berkenaan walaupun telah ditegah oleh penduduk kampung kerana buaya-buaya di sungai berkenaan ganas. Penduduk kampung berkenaan tergamam apabila melihat Syeikh Mohammad Said tidak diapa-apakan oleh buaya-buaya yang berkeliaran di sekitarnya. Malahan beliau dilihat mengusap lembut buaya-buaya berkenaan.
Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bersama serombongan orang, ketika itu cuaca agak panas dan kebanyakan semua orang dalam rombongan tersebut merasa dahaga. Namun mereka tidak mendapati air untuk diminum. Kebetulan ada dikalangan ahli rombongan yang membawa cerek kosong. Syeikh Muhammad Said mengambil cerek tersebut dan berdoa. Setelah itu beliau menuangkan cerek itu seolah-olah ianya berisi. Sekonyong-konyongnya keluarlah air dari cerek tersebut dan cukup untuk menghilangkan dahaga kesemua rombongan tersebut
Suatu ketika, tiga pemuda berhajat menemui Syeikh Muhammad Said untuk mengajukan permasalahan masing-masing. Kebetulan ketika mereka sampai bertepatan masuknya waktu solat. Lalu mereka solat berimamkan Syeikh Muhammad Said dan bercadang mengajukan masalah masing-masing setelah selesai solat tersebut. Selepas solat, berwirid dan berdoa, Syeikh Muhammad Said memjawab permasalahan ketiga-tiga pemuda tersebut tanpa sempat mereka mengemukakannya terlebih dahulu kepada beliau.
Wallahu a’lam.
Makam Syeikh Mohd Said







3 comments: