Saturday 22 September 2012


Kompleks Sejarah Pasir Salak, Negeri Perak pada 16 September 2012.

(Sempena cuti umum Hari Malaysia pada 16 September 2012 yang lalu, saya dan keluarga mengambil kesempatan untuk melancong ke Teluk Intan, Perak. Kami tidak melepaskan peluang untuk melawat Komplek Sejarah Pasir Salak, memandangkan jarak di antara Teluk Intan dan Pasir Salak hanya lebih kurang 35KM (kira-kira setengah jam perjalanan). Kompleks tersebut terletak di pinggir Sungai Perak. Banyak maklumat dan informasi sejarah yang dapat diraih dari lawatan tersebut.)

Pintu masuk.
Sejarah Pasir Salak
Campur tangan Inggeris di Perak bermula apabila berlaku perbalahan di antara Raja Abdullah dan Raja Ismail, selepas kemangkatan Sultan Ali pada tahun 1871. Raja Abdullah sebagai Raja Muda sepatutnya dilantik sebagai sultan Perak yang baharu, tetapi memandangkan beliau tidak menghadiri upacara pengkebumian Sultan Ali, Raja Bendahara, Raja Ismail telah dilantik sebagai Sultan Perak yang baharu. Perlantikan ini menyebabkan ketidakpuashatian Raja Abdullah. Ketidakpuashatian ini mendorong Raja Abdullah meminta bantuan Inggeris. Pada masa yang sama juga perbalahan dua kumpulan kongsi gelap masyarakat Gee Hin pimpinan Chin Ah Yam dan kumpulan Hai San pimpinan Chung Keng Quee kerana berebut lombong bijih timah menimbulkan rasa kurang senang kepada pihak Inggeris.
Pemandangan Sungai Perak dari Kompleks

 Pada 20 Januari 1874, Perjanjian Pangkor telah ditandatangani di antara Raja Abdullah dengan para pembesarnya dengan Andrew Clarke, wakil Inggeris di Pulau Pangkor. Antara syarat perjanjian tersebut Raja Abdullah diiktiraf sebagai sultan. Seroang Residen Inggeris akan dilantik untuk menasihati sultan adalam aspek pentadbiran negeri kecuali hal-hal berkaitan agama Islam dan adat Melayu. Perkara berkaitan pungutan cukai ditetapkan dengan nasihat Residen Inggeris. Sehubungan dengan itu JWW Birch dilantik sebagai Residen pertama Negeri Perak.
Bangunan Terowong Waktu. Galeri sejarah Pasir Salak dan sejarah negara dipamerkan secara diodrama. Bangunan ini juga mempamerkan pelbagai jenis keris.


Di hadapan pintu masuk Bangunan Terowong Waktu, anda akan melihat objek ini. Ia merupakan jam lama.

 Selepas dilantik menjadi Residen, Birch meminta Raja (Sultan) Abdullah supaya memandatangani satu perisytiharan menyerahkan kuasa memungut cukai kepadanya. Ini akan menyebabkan para pembesar yang sebelum ini berkuasa memungut cukai akan kehilangan kuasa tersebut. Perkara ini tidak disenangi oleh Raja Abdullah dan para pembesar. Setelah beberapa kali menolak, Raja Abdullah terpaksa menandatangani perisytiharan tersebut setelah diugut akan kehilangan takhtanya. Ini menimbulkan kemarahan Raja Abdullah dan para pembesar yang kehilangan hak mengutip cukai.
Tempat Birch dibunuh.
 

 Dalam tempoh Mac hingga September 1875, Sultan Abdullah mengadakan sekurang-kurangnya 7 pertemuan (Mesyuarat) sulit dengan para pembesarnya untuk membincangkan pembunuhan JWW Birch. Antara pembesar yang terlibat dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut adalah Dato Maharajalela, Dato Sagor dan Laksamana Mohamad Amin. Dalam Mesyuarat terakhir pada 30 Oktober 1875 di rumah Dato Maharajalela, keputusan muktamad telah dicapai, JWW Birch mesti dibunuh pada 2 November 1875, semasa melawat Pasir Salak pada tarikh tersebut. Dato Maharajalela yang telah diberi kuasa membunuh Birch telah menganugerahkan baju, tengkolok dan pedang kepada Pandak Indut sebagai wakilnya untuk membunuh Birch.
Tapak Kubu Dato Maharajalela

 Pada malam 1 November 1875, Birch dan rombongannya tiba di Pasir Salak dengan perahu kenaikannya. Keesokan harinya Birch mengarahkan juru bahasanya Mat Arshad agar menemui Dto Maharajalela untuk meminta pembesar itu bertemu dengannya. Walau bagaimanapun Dato Maharajalela menolak dan perkara ini disampaikan kepada Birch. Birch mengarahkan agar kerja-kerja menampal poster perisyrtiharan mengambilalih tugas memungat cukai diteruskan.

 Tindakan menampal poster tersebut menimbulkan kemarahan penduduk Pasir Salak tetapi tidak dihiraukan oleh Mat Arshad. Keadaan semakin tegang apabila poster yang ditampal di diding kedai emas dikoyakkan oleh Pandak Indut dan Mat Arshad seperti tidak mengambil kisah dan meneruskan kerja-kerja menampal poster yang baru. Sekali lagi Pandak Indut mengoyakkan kertas yang baru ditampal. Namun Mat Arshad masih tidak mengendahkan kemarahan Pandak Indut dan terus menampal poster yang baru. Akibatnyanya Pandak Indut menikam perut Mat Arshad dengan kerisnya.

 Tindakan Pandak Indut tersebut telah membangkitkan semangat penduduk kampung. Sambil menjerit mereka mula mengamuk menyerbu perahu kenaikan Birch. Askar yang mengawal Birch merasa ketakutan melihat gerombolan penduduk kampung yang menyerbu ke arah perahu kenaikan Birch dan segera melarikan diri.

 Pada hari tersebut, Birch yang baharu sahaja balik dari lawatannya di Pasir Salak melihat kerja-kerja menampal poster perisytiharkan mengambilalih kerja-kerja memungut cukai, sedang mandi di rumah rakit berdekatan perahu kenaikannya. Pada waktu itulah Pandak Indut merejam lembing tepat ke arah dada Birch. Birch terjatuh ke dalam sungai dan masih bernyawa. Beliau cuba berenang ke tepi sungai untuk meminta bantuan dan pada masa yang sama Si Puntum menerpa ke arahnya dan menetak kepala Birch dengan parang panjangnya. Mayat Birch tenggelam dan hanya ditemui pada keesokkan harinya lebih kurang 182.9 meter dari tempat kejadian.
Tugu Perisytiharan Pahlawan Perak
 
 Semasa kejadian askar yang dipimpin Lt. Abbot yang sepatutnya mengawal dan melindungi Birch sedang berburu di Kampung Gajah.

masjid lama

 
Surau lama

 
Nota: Foto Rumah Kutai tidak dapat disiarkan kerana "hilang" dari kamera.
 


1 comment:

  1. Semoga memberi manfaat kepada pembaca. Teruskan menulis ye...hehehehh

    ReplyDelete