Tuesday 2 October 2012

Ziarah ke Makam Syeikh Tokku Paloh


Catatan 29 September 2012

Lawatan bersama keluarga ke Kuala Terengganu ini memberi saya peluang untuk menziarahi makam empat orang ulama silam terkemuka Terengganu iaitu Syeikh Tok Pulau Manis, Syeikh Tokku Tuan Besar, Syeikh Tokku Paloh dan Syeikh Tok Pelam. Selepas Check In di hotel penginapan, saya membawa keluarga ke Pasar Payang, untuk makan tengah hari sambil “melayan” isteri mencuci mata melihat barangan jualan di sana.

Selepas menghantar isteri dan anak ke hotel penginapan, saya memulakan aktiviti ziarah makam dengan menjadikan lokasi makam Syeikh Tokku Tuan Besar di Cabang Tiga dan makam Syeikh Tokku Paloh di Kampung Paloh, Losong sebagai destinasi pertama dan kedua. Mengikut rancangan asal saya sepatutnya menziarahi makam Syeikh Tokku Tuan Besar terlebih dahulu di Cabang Tiga, tetapi memandangkan saya “terlepas” Masjid Tok Ku Tuan Besar (lokasi makam), saya mengubah rancangan dengan menziarahi makam Syeikh Tokku Paloh terlebih dahulu.
Papan tanda Tanah Perkuburan Tokku Paloh
Terletak di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paloh, Losong Kuala Terengganu. Lebih kurang 8 hingga 10 Kilometer dari pusat Bandar Kuala Terengganu. Kampung Paloh terletak di Losong Feri, berhampiran dengan Muzium Negeri Terengganu.

Syeikh Tokku Paloh atau nama sebenar beliau Sayyid Abdur Rahman bin Sayyid Muhammad al-Aidrus merupakan salah seorang ulama besar Negeri Terengganu yang tersohor. Beliau dilahirkan pada tahun 1817 di Kampung Cabang Tiga dan meninggal dunia dalam tahun 1917, merupakan anak kepada seorang lagi ulama besar Terengganu, Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin al-Aidrus, yang lebih dikenali dengan gelaran Syeikh Tokku Tuan Besar.

Kawasan perkuburan dari tepi jalan
Lokasi

Makam Syeikh Tokku Paloh terletak di kampung Paloh, Losong Feri Kuala Terengganu. Lorong ke kampung Paloh sebenarnya berhampiran dengan Muzium Terengganu, iaitu di sebelah kiri jalan sekiranya menghala ke Muzium Terengganu dan Taman Tamadun Islam. Makam ulama  dan Wali Allah ini terletak di atas bukit kawasan Perkuburan Paloh.


Makam Syeikh Tokku Paloh terletak di atas bukit, bertembok putih. Kelihatan tangga simen ke makam.
Keterangan

Syeikh Tokku Paloh atau nama sebenar beliau Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus bin Saiyid Muhammad al-Aidrus bin Saiyid Zainal Abidin al- Aidrus merupakan putera seorang lagi tokoh ulama terkenal Terengganu, Syeikh Tokku Tuan Besar. Syeikh Tokku Paloh dilahirkan dalam tahun 1817 di Cabang Tiga, Kuala Terengganu.

Adik-beradiknya juga merupakan ulama yang banyak berjasa dan berbakti kepada pemerintah dan rakyat Terengganu seperti Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang terkenal dengan gelaran Engku Saiyid Perdana Seri Perdana, Saiyid Ahmad al-Aidrus (Tokku Tuan Ngah Seberang Baruh) dan Saiyid Mustafa al-Aidrus (Tokku Tuan Dalam).

Pendidikan

Peringkat awal pendidikan agama Syeikh Tokku Paloh adalah dari ayahandanya sendiri yang merupakan juga seorang ulama. Kemudian beliau belajar pula dengan tokoh agama lain yang terkemuka zaman itu, Tok Syeikh Duyung (Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani) yang juga merupakan rakan baik ayahnya.

Syeikh Tokku Paloh kemudiannya melanjutkan pelajaran agamanya ke Mekah dan berguru dengan beberapa orang ulama seperti Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Antara rakan seperguruannya di Mekah adalah seperti Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Kadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (dari Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan sebagainya.

Kawasan makam dalam tembok yang menempatkan makam Syeikh Tokku Paloh dan ahli keluarganya.
Pulang ke Terengganu

Setelah pulang dari Kota Mekah, Syeikh Tokku Paloh menjadikan Kampung Paloh, Terengganu sebagai pusat pengajian dan penyebaran dakwah Islamiah. Pusat pengajian beliau didatangi ramai orang dari pelbagai jurusan untuk menuntut ilmu agama dari Syeikh Tokku Paloh. Mereka tidak terhad dari sekitar Terengganu sahaja bahkan dari Kelantan, Pahang dan Pattani.  Antara anak muridnya terkenal adalah seperti Sultan Zainal Abidin III, Tuan Haji Abdul Rahman Limbong, Haji Mohd [Mat] Hassan bin Munas (Tok Janggut) dan sebagainya.

Bahkan, pahlawan Pahang yang menentang campurtangan Inggeris di negeri tersebut seperti Tok Gajah, Dato’ Bahaman dan Mat Kilau pernah berkesempatan menuntut ilmu dari Syeikh Tokku Paloh semasa mendapatkan perlindungan daripadanya. Syeikh Tokku Paloh dikatakan telah menaikkan semangat ketiga-tiga pahlawan tersebut yang mulai tertekan dan hampir menyerah diri dengan tindakan askar Inggeris yang sedang memburu mereka. Berkat bantuan Syeikh Tokku Paloh, angkatan pahlawan Pahang bertambah besar dan kembali tersusun.

Sebagai ulama tersohor, selain mempunyai murid yang ramai Syeikh Tokku Paloh juga meninggalkan khazanah dalam bentuk penulisan kitab-kitab seperti Dhiya ‘Uqud ad-Durratain dan manuskrip tasawuf  yang sangat terkenal di kalangan masyarakat Tasawuf di Terengganu, Kelantan dan Pahang, Ma’arij al-Lahfan. Syeikh Tokku Paloh juga memilih Tarekat Naqsyabandiah sebagai amalan tasawufnya.

Syeikh Tokku Paloh juga terlibat secara langsung dengan pemerintahan dan pentadbiran Negeri Terengganu, terutamanya semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.  Beliau menjadi ulama yang menasihati Sultan dalam hal-hal pentadbiran negeri agar sejajar dengan syariat dan hukum Islam dan merupakan salah-seorang Ahli  Majlis Mesyuarat Negeri. Bahkan adik-beradiknya seperti Tuan Embung Abu Bakar (Tokku Tuan Kecik) dan Tokku Nik (Senik) dan beberapa orang lagi pernah memegang jawatan penting dalam pemerintahan Negeri Terengganu.

Syeikh Tokku Paloh juga amat membenci campurtangan Inggeris di Tanah Melayu. Maka kerana itu tidak hairanlah anak muridnya yang terkenal seperti Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut tercatat dalam sejarah Negara sebagai pejuang bangsa yang menentang penjajahan Inggeris.

Suatu ketika, ketika wakil Inggeris menghadap Sultan Zainal Abidin III, sebagai satu langkah untuk cuba campurtangan di Terengganu, baginda mengusulkan agar wakil Inggeris berkenaan bertemu dan berbincang dengan Syeikh Tokku Paloh. Baginda merujuk Syeikh Tokku Paloh sebagai “Tuan” Negeri Terengganu. Walau bagaimanapun beberapa siri rundingan diantara wakil Inggeris dengan Syeikh Tokku Paloh tidak berhasil. Inggeris hanya berjaya campurtangan di Terengganu selepas kematian Syeikh Tokku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III.
Makam Tokku Paloh berpagar besi berwarna hijau. Ketika lawatan ini, ianya berkunci.
Peristiwa luar biasa/ karomah

Antara peristiwa luar biasa yang berlaku yang dikaitkan dengan karomah Syeikh Tokku Paloh semasa pertemuannya dengan wakil Inggeris yang berhasrat untuk campur tangan dalam urusan pentadbiran Terengganu. Apabila rundingan tersebut gagal mencapai persetujuan, wakil Inggeris tersebut bangun dengan perasaan tidak puas hati, malangnya kerusi yang diduduki juga ikut terangkat seperti terlekat pada punggungnya.

Setelah rundingan pertama gagal, rundingan kedua diadakan di sebuah kapal Inggeris, namun rundingan tersebut juga gagal kerana ketika rundingan berlangsung, apabila Syeikh Tokku Paloh menyengetkan serbannya ke kiri, kapal tersebut juga senget ke kiri dan begitulah sebaliknya. Inggeris hanya berjaya campurtangan di Terengganu selepas kematian Syeikh Tokku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III.

Syeikh Tokku Paloh meninggal dunia pada September 1917 ketika berusia 100 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Tokku Paloh, Losong Kuala Terengganu. Wallahu a’lam.

Makam Syeikh Tokku Paloh yang ditutup dengan kain berwarna hijau.

2 comments:

  1. tq,skrg saya boleh buat kerja kursus

    ReplyDelete
  2. Ijazah Senaman Nafas Sejati
    Sanad Sunan Gunung Jati Aliran Tokku Paloh

    ⚔Perisai Diri & Keluarga
    ⚔Perawatan Diri &Keluarga
    ⚔Belajar Melalui Guru Bersanad.
    ⚔Boleh Merawat Tanpa Menggunakan Khidmat Orang Lain.
    ⚔Keilmuan Putih HaQ

    Step1
    Ijazah SNSPT Rm150.00
    Ijazah SNSKT Rm150.00
    (Promosi SNSPT+SNSKT Rm199.99)
    *10% infaq ke tahfiz

    Bertemu Lutut Dgn Guru @ Jarak Jauh

    Sesi Ijazah -Tarikh Cadangan :-
    7-09-2019 Sabtu Malam
    05-10-2019 Sabtu Malam
    * Cukup Korum 30 Org Program On
    Lokasi @ KL

    *Whatsapp*
    https://chat.whatsapp.com/ExDOIJ4SJLq2rhi6hsWBFt

    *Telegram*
    http://t.me/keilmuanhaq

    ReplyDelete