Friday 12 October 2012

Makam Sultan Hussin

Catatan 3 Oktober 2012 - Melaka

 Ketika melawat Masjid Tengkera, saya sempat menziarahi Makam Sultan Hussin di kawasan perkuburan yang berdekatan dengan masjid tersebut.
Makam Sultan Hussin

 Lokasi
Tengkera Melaka, di Tepi Jalan Tengkera, lebih kurang 10KM dari pusat Bandar Melaka. Mercu tanda yang jelas ialah menaranya.

 Keterangan

 Sultan Mahmud Syah III Sultan Johor-Riau-Lingga ke-17 mangkat pada tahun 1812 tanpa sempat menamakan waris yang akan mengambil-alih takhta. Baginda mempunyai dua orang putera yang berlainan bonda iaitu Tengku Hussin dan Tengku Abdul Rahman. Kedua-duanya berketurunan Bugis.Semasa kemangkatan baginda sultan, Tengku Hussin sedang berada di Pahang dan sebagai putera sulung, Tengku Hussin sepatutnya naik takhta.
Batu nesan yang terdapat di sekitar makam Sultan Hussin
 

 Walau bagaimanapun dengan bantuan Raja Jaafar, ketua orang Bugis, adindanya Tengku Abdul Rahman telah dilantik sebagai sultan yang baru, menggantikan almarhum ayahandanya. Ini kerana Tengku Hussin tidak dapat kembali segera ke Johor memandangkan tiada angina monsun. Tengku Hussin sebenarnya telahpun mendapat khabar berita mengenai kemangkatan ayahandanya melalui surat yang dikirimkan oleh Raja Jaafar tetapi tidak mengetahui perlantikan adik tirinya sebagai sultan yang baru. Sementara itu, surat perlantikan Tengku Hussin sebagai sultan yang baru telah dikirimkan ke Lingga oleh Bendahara Tun Ali di Pahang.
Perkuburan bersebelahan Masjid Tengkera

 Setelah tibanya angin monsun, Tengku Hussin segera berangkat ke Lingga dan ketibaannya disambut oleh Sultan (Tengku) Abdul Rahman. Pada mulanya Sultan Abdul Rahman bersetuju untuk menyerahkan takhta kepada Tengku Hussin tetapi membatalkan niatnya apabila diancam oleh Raja Jaafar.

 Pada masa yang sama Stamford Raffles tiba di Singapura pada 29 Januari  1819 dalam ekspedisi mencari petempatan di Tanah Melayu. Pada masa itu Singapura berada dibawah kekuasaan Temenggung Abdul Rahman (Temenggung Abdul Rahman dan Sultan Abdul Rahman bukan orang yang sama). Raffles mengambil peluang dari perebutan takhta tersebut untuk mendapatkan Singapura. Raffles telah berunding dengan Tengku Hussin dan berjanji untuk menjadikannya sebagai sultan sekiranya Tengku Hussin bersetuju menyerahkan Singapura kepada Inggeris. Pada masa yang sama, Sultan Abdul Rahman sedang dikuasai oleh Belanda dan Raja Jaafar.

 Dengan muslihat dan tipu-daya, Raffles berjaya mengiktiraf Tengku Hussin sebagai Sultan Johor dan Singapura. Setelah mengiktiraf Tengku Hussin sebagai Sultan, Raffles mengikat perjanjian dengan Sultan tersebut. Antara kandungan perjanjian tersebut, Tengku Hussin diiktiraf sebagaisultan Johor dan diberi elaun tahunan oleh Inggeris, sementara kerajaan Johor hendaklah menyerahkan Singapura ke pada pihak Inggeris. Walau bagaimanapun perlantikanSultan Hussin tidak diiktiraf oleh Raja-Raja Melayu yang lain.

 Peranan sultan Hussin sebagai pemerintah Johor hanya sebagai boneka kepada Inggeris. Baginda banyak menghabiskan masanya di istananya di istana kampung Gelam sehinggalah beliau berpindah ke Tengkera Melaka pada tahun 1834 dan mangkat di sana sebagai sultan yang tidak mempunyai kuasa di Johor.

 

No comments:

Post a Comment