Friday 14 September 2012

Makam Syeikh Tuan Tulis, Kuala Pilah, N9


Catatan 1 September 2012
Saya dan keluarga sebenarnya dalam perjalanan ke Bahau, Negeri Sembilan untuk menghadiri majlis kahwin teman sepejabat isteri saya apabila secara tak sengaja terlihat papan tanda berwarna coklat yang menunjukkan arah ke Makam Syeikh Tuan Tulis di simpang jalan masuk Kampung Talang, Kuala Pilah. Memandangkan kami telah memutuskan  untuk bermalam di Bahau, saya merancang untuk menziarahi Makam  Syeikh Tuan Tulis selepas urusan Check In di hotel penginapan selesai.
Setelah menghantar isteri dan anak ke hotel penginapan, saya bergegas ke Tanjung Ipoh, Kuala Pilah untuk menziarahi Makam Syeikh Tuan Tulis. Ini merupakan makam pertama yang saya ziarahi yang menjadi titik tolak pada episod ziarah makam seterusnya.

Lokasi
Makam Syeikh Tuan Tulis terletak di Kampung Kuala Talang, Tanjung Ipoh Kuala Pilah, lebih kurang 10  kilo meter dari Pekan Kuala Pilah. Sekiranya melalui jalan dari arah Ulu Bendul/ Seremban ke Kuala Pilah, simpang masuk ke kampung Talang adalah di sebelah kiri. Jarak dari simpang tersebut ke Makam Syeikh Tuan Tulis lebih kurang 1 kilo meter. Makam Syeikh Tuan Tulis terletak di dalam kawasan Masjid Tuan Tulis (menghadap mihrab), iaitu dalam binaan berbumbung berwarna kuning.





Keterangan
Syeikh Tuan Tulis atau nama sebenar beliau Haji Ismail Hussein merupakan seorang tokoh agama dan wali Allah yang terkenal di Negeri Sembilan, khasnya di sekitar Kuala Talang, Kuala Pilah. Beliau dilahirkan pada tahun 1840 (ada juga keterangan yang menyebut dalam tahun 1860-an) dan meninggal dunia pada tahun 1922, dalam bulan Ramadhan ketika berzikir selepas solat subuh. Beliau telah membina masjid yang dikenali sebagai masjid Tuan Tulis di Kuala Talang, Tanjung Ipoh Kuala Pilah dan masih digunakan sehingga kini.
 Beliau dilahirkan dari keluarag yang miskin. Kecintaannya terhadap ilmu agama mendorongnya berjalan kaki sampai ke Termerloh, Pahang untuk berguru dengan Tok Ayah Man (Tuan Haji Abdul Rahman), seorang ulama terkemuka pada zaman itu.
 Beliau dikenali dengan gelaran Tuan Tulis kerana kerajinan dan ketekunannya menyalin dan semula kitab yang dipelajarinya. Ada pendapat mengatakan beliau menyalin dan menulis kitab-kitab yang dipelajari yang dipinjam dari kawan sepengajian kerana tidak mampu membelinya. Pendapat lain mengatakan beliau menjadi jurutulis gurunya.Tok Ayah Man, kerana itu Tok Ayah Man memanggilnya Ismail Tulis . Antara kitab yang disalin dan ditulis adalah Kitab Tafsir Jalalain dan 30 juzuk al-Quran.

 Dakwat yang digunakan oleh Syeikh Tuan Tulis diperbuat dari campuran arang para dan getah limau kasturi. Penanya pula dibuat daripada bilah segar kabung.  Syeikh Tuan Tulis juga mempunyai hubungan rapat dengan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan pada masa itu, Tuanku Muhammad ibnu Tuanku Antah. Binaan makam beliau dibina oleh Tuanku Muhammad ekoran satu kejadian aneh yang dialami baginda semasa mendapatkan rawatan di London dalam tahun 1925.


Kononnya ketika beliau sedang mendapatkan rawatan di sana, Syeikh Tuan Tulis datang menziarahinya dan meminta segelas air dan berdoa. Air yang telah didoakan disapu ke bahagian anggota tubuh yang sakit manakala bakinya diminum olleh Tuanku Muhammad. Selepas mendapat rawatan secara tradisional dari Syeikh Tuan Tulis, baginda merasa sihat dan beransur pulih.Kemudian baginda masuk ke bilik untuk mengambil sesuatu sebagai hadiah kepada Syeikh Tuan Tulis.  Apabila keluar dari bilik tersebut, baginda mendapati Syeikh Tuan tulis telah ghaib dan ketika itu barulah baginda menyedari bahawa Syeikh Tuan Tulis sebenarnya telah meningggal dunia tiga tahun lalu (1922). Setelah pulang dari London, baginda memerintahkan agar bangunan di bina ke atas makam wali Allah tersebut.
 Syeikh Tuan Tulis dikenali sebagai seorang yang zuhud, warak dan ‘alim. Beliau sentiasa menjadi rujukan masyarakat sekeliling sekiranya ada masalah. Syeikh Tuan Tulis juga suka bergaul dengan orang jahil dan selalu berdakwah kepada mereka. Beliau juga digambarkan suka berkain pelikat atau berseluar jerut, berbaju melayu atau baju labuh dan sentiasa berkopiah.
Banyak peristiwa luar biasa yang pernah terjadi yang dikaitkan dengan karomah Syeikh Tuan Tulis semasa hidupnya. Suatu ketika ketika hendak bercukur, tukang cukur beliau masuk ke rumah untuk mengasah cukur yang tumpul, dan ketika kembali beliau mendapati Syeikh Tuan Tulis tiada ditempatnya. Setelah beberapa lama, Syeikh Tuan Tulis kembali dan ketika ditanya ke mana beliau pergi, beliau dengan selamba mengatakan telah pergi ke Mekah untuk membantu memadamkan kebakaran di sana. Kejadian ini berlaku dalam tahun 1900.
Ketika anak muridnya berehat setelah mengerjakan bendang, mereka disajikan dengan buah tamar yang segar, seperti baru dipetik dari pohon oleh Syeikh Tuan Tulis, sedangkan tidak terdapat pohon tamar di sekitarnya.
Syeikh Tuan Tulis juga gemar menternak kerbau dan kerbaunya dibiarkan bebas berkeliaran tanpa ditambat. Walau bagaimanapun kerbau-kerbau tersebut tidak pernah memakan padi orang kampung. Diceritakan Syeikh Tuan Tulis telah berpesan kepada kerbaunya agar hanya memakan rumput dan jangan memakan padi orang.
 Di samping menternak kerbau, Syeikh Tuan Tulis juga memelihara beratus-ratus ekor burung merpati dan ketika meninggal dunia, beratus-ratus burung merpati tersebut mengiringi jenazahnya ke tempat pengebumian,melindunginya dari pancaran matahari.  Allahu’alam.


3 comments:

  1. Al fatihah pada tuan tulis

    ReplyDelete
  2. Allahumagfirlahu warhamhu wa'afihi wagfu'anhu.Allah Hu.

    ReplyDelete
  3. Masha Allah. Penulisan yang mudah difahami. Teringin nak ziarah makamnya.

    ReplyDelete