Sunday, 14 October 2012

Makam Raja Jumaat


Catatan 6 Oktober 2012
Papan tanda
 
Dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur setelah selesai Bengkel Kenaikan Pangkat dan Pemangkuan selama 3 hari yang diadakan di Port Dickson, saya sempat ke bandar Lukut, menziarahi Makam Raja Jumaat.
 
Ketika kunjungan ini, pintu masuk utama kawasan perkuburan berkenaan berkunci. Saya masuk ke tanah perkuburan berkenaan melalui pintu kecil (bersebelahan Stesen Minyak Caltek) yang tidak berkunci. Walau bagaimanapun, kawasan Makam Di Raja Selangor dipagari tembok dan pintu jeriji pula dikunci.
Sekitar tanah perkuburan Lukut
Makam Di Raja Selangor
 
Lokasi
Terletak di Kawasan Makam Di Raja Selangor, di Kawasan Perkuburan Islam Lukut. Kawasan Perkuburan berkenaan berhadapan dengan Balai Polis Lukut, bersebelahan dengan stesen minyak Caltek.
 
Keterangan
Merupakan seorang kerabat Di Raja Riau dan berhijrah ke Lukut bersama ayahnya Raja Jaafar, setelah kematian Raja Busu (yang bertanggungjawab membuka Lukut tetapi mati terbunuh dalam satu pergaduhan dengan pelombong cina yang marah setelah menaikkan cukai sebanyak 10% pada tahun 1834) untuk menyambung kembali kegiatan perlombongan.

Raja Jumaat merupakan seorang yang kaya-raya dan telah membina Kota Lukut di Bukit Gajah Mati (kini Muzium Kota Lukut) sebagai kota pertahanan dan gedung menyimpan bijih timah. Lukut menjadi sebuah bandar perdagangan yang penting semasa zaman pentadbirannya.

Raja Jumaat meninggal dunia dalam tahun 1864 dan digantikan oleh anaknya, Raja Bot.
Gambar Makam Raja Mahadi yang saya ambil dari celah-celah pintu besi jeriji
(atas dan bawah)
 
 
Pintu masuk ke Makam Di Raja yang sentiasa berkunci

 
 

Friday, 12 October 2012

Makam Sultan Hussin

Catatan 3 Oktober 2012 - Melaka

 Ketika melawat Masjid Tengkera, saya sempat menziarahi Makam Sultan Hussin di kawasan perkuburan yang berdekatan dengan masjid tersebut.
Makam Sultan Hussin

 Lokasi
Tengkera Melaka, di Tepi Jalan Tengkera, lebih kurang 10KM dari pusat Bandar Melaka. Mercu tanda yang jelas ialah menaranya.

 Keterangan

 Sultan Mahmud Syah III Sultan Johor-Riau-Lingga ke-17 mangkat pada tahun 1812 tanpa sempat menamakan waris yang akan mengambil-alih takhta. Baginda mempunyai dua orang putera yang berlainan bonda iaitu Tengku Hussin dan Tengku Abdul Rahman. Kedua-duanya berketurunan Bugis.Semasa kemangkatan baginda sultan, Tengku Hussin sedang berada di Pahang dan sebagai putera sulung, Tengku Hussin sepatutnya naik takhta.
Batu nesan yang terdapat di sekitar makam Sultan Hussin
 

 Walau bagaimanapun dengan bantuan Raja Jaafar, ketua orang Bugis, adindanya Tengku Abdul Rahman telah dilantik sebagai sultan yang baru, menggantikan almarhum ayahandanya. Ini kerana Tengku Hussin tidak dapat kembali segera ke Johor memandangkan tiada angina monsun. Tengku Hussin sebenarnya telahpun mendapat khabar berita mengenai kemangkatan ayahandanya melalui surat yang dikirimkan oleh Raja Jaafar tetapi tidak mengetahui perlantikan adik tirinya sebagai sultan yang baru. Sementara itu, surat perlantikan Tengku Hussin sebagai sultan yang baru telah dikirimkan ke Lingga oleh Bendahara Tun Ali di Pahang.
Perkuburan bersebelahan Masjid Tengkera

 Setelah tibanya angin monsun, Tengku Hussin segera berangkat ke Lingga dan ketibaannya disambut oleh Sultan (Tengku) Abdul Rahman. Pada mulanya Sultan Abdul Rahman bersetuju untuk menyerahkan takhta kepada Tengku Hussin tetapi membatalkan niatnya apabila diancam oleh Raja Jaafar.

 Pada masa yang sama Stamford Raffles tiba di Singapura pada 29 Januari  1819 dalam ekspedisi mencari petempatan di Tanah Melayu. Pada masa itu Singapura berada dibawah kekuasaan Temenggung Abdul Rahman (Temenggung Abdul Rahman dan Sultan Abdul Rahman bukan orang yang sama). Raffles mengambil peluang dari perebutan takhta tersebut untuk mendapatkan Singapura. Raffles telah berunding dengan Tengku Hussin dan berjanji untuk menjadikannya sebagai sultan sekiranya Tengku Hussin bersetuju menyerahkan Singapura kepada Inggeris. Pada masa yang sama, Sultan Abdul Rahman sedang dikuasai oleh Belanda dan Raja Jaafar.

 Dengan muslihat dan tipu-daya, Raffles berjaya mengiktiraf Tengku Hussin sebagai Sultan Johor dan Singapura. Setelah mengiktiraf Tengku Hussin sebagai Sultan, Raffles mengikat perjanjian dengan Sultan tersebut. Antara kandungan perjanjian tersebut, Tengku Hussin diiktiraf sebagaisultan Johor dan diberi elaun tahunan oleh Inggeris, sementara kerajaan Johor hendaklah menyerahkan Singapura ke pada pihak Inggeris. Walau bagaimanapun perlantikanSultan Hussin tidak diiktiraf oleh Raja-Raja Melayu yang lain.

 Peranan sultan Hussin sebagai pemerintah Johor hanya sebagai boneka kepada Inggeris. Baginda banyak menghabiskan masanya di istananya di istana kampung Gelam sehinggalah beliau berpindah ke Tengkera Melaka pada tahun 1834 dan mangkat di sana sebagai sultan yang tidak mempunyai kuasa di Johor.

 

Thursday, 11 October 2012

Masjid al-Adly, Lumut, Perak

Catatan 16 September 2012 - Lumut

 Setelah kami sekeluarga selesai meronda Pulau Pangkor kami bertolak balik ke Lumut lebih kurang jam 2.30 petang dan meneruskan perjalanan balik ke Kuala Lumpur. Sebelum bertolak ke Kuala Lumpur dari bandar Lumut, kami sempat singgah di masjid ini untuk menunaikan solat jamak dan qasar.
Rekabentuk kubah utama, menara dan bumbung
Kubah kecil

Lokasi: 
Terletak di tepi Jalan Iskandar Shah, lebih kurang 100M dari Bandar Lumut (di sebelah kanan jalan sekiranya dari arah bandar Lumut). Bersebelahan dengan  Stesen Bas Lumut.

Masjid Adly, Lumut dibina sebagai tanda kesyukuran penyerahan Jajahan Dinding (Kini Manjung) kepada Kerajaan Perak. Daerah / Jajahan Dinding asalnya dibawah pentadbiran Negeri-Negeri Selat sebelum diserahkan kepada Perak secara rasminya pada 16 Februari 1935. Walau bagaimanapun tiada makumat tarikh pembinaan masjid ini.

Wednesday, 10 October 2012

Makam Dol Said, Taboh, Naning Melaka

Catatan 3 September 2012 – Taboh, Naning, Melaka



Masjid Dol Said di Naning



Tujuan lawatan ke Melaka kali ini sebenarnya bukan untuk menyelongkar makam, tetapi untuk menyelongkar tiga masjid tertua di Malaysia, Masjid Kampung Hulu, Masjid Kampung Keling dan Masjid Tengkera. Walau bagaimanapun, memandangkan saya akan melalui Tol Simpang Ampat dan Alor Gajah, saya memasukkan Makam Dol Said sebagai salah-satu destinasi lawatan saya kali ini kerana jarak dari Plaza Tol Simpang Ampat dengan Taboh, Naning amat dekat.

Lokasi
Taboh, Naning. Di bulatan selepas tol Simpang Ampat ambil simpang ke kanan (di sini terdapat papan tanda Makam Dol Said akan menunjukkan arah ke kanan). Lebih kurang 500M selepas bulatan akan kelihatan satu lagi papan tanda berkenaan dan sebuah masjid, iaitu Masjid Dol Said. Makam pahlawan tersebut terletak di kawasan perkuburan di belakang masjid berkenaan.
Tanah Perkuburan di belakang Masjid

Sejarah

Dol Said @ Abdul Said dilahirkan pada 1773 di Naning, Alor Gajah berketurunan Suku Semelanggang. Beliau merupakan Penghulu Naning yang ke-9, menggantikan Penghulu Anjak pada tahun 1799 ketika berusia 26 tahun. Beliau mempelajari ilmu persilatan sejak berusia 6 tahun lagi. Disamping hebat dalam ilmu persilatan, beliau juga cerdas mengaji ilmu agama.









Penentangan Dol Said terhadap British berpunca daripada keengganannya untuk menyerahkan 1/10 daripada hasil pertanian kepada Inggeris sebagai cukai. Beliau berpendapat Naning adalah sebuah wilayah yang merdeka dan tidak perlu membayar cukai kepada pihak Inggeris. Sebaliknya pihak Inggeris menegaskan Naning merupakan sebahagian dari Melaka yang ditadbirnya dan semua peraturan dan undang-undang di Melaka berkutkuasa di Naning.
Batu nesan

Akibat keengganan Dol Said membayar cukai tersebut, pada 15 Julai 1831 Inggeris telah mengisytiharkan Dol Said sebagai penderhaka dan menghantar angkatan seramai 150 orang sepoi yang diketuai oleh Kapten Wyllie untuk mnyerang Naning tetapi dapat dipatahkan oleh Dol Said dan para pengikutnya. Sepanjang tempoh 18 hari perang Naning (6 Ogos 1831 – 24 Ogos 1831), Dol Said mendapat sokongan sehingga 1000 orang Melayu.

Walau bagaimanapun, pihak Inggeris tidak mengalah, pada tahun 1832 pihak Inggeris sekali lagi melancarkan serangan ke atas Naning. Namun kali ini Inggeris mendapat bantuan seramai 600 hulubalang dari Yamtuan Muda Raja Ali dari Rembau untuk mengalahkan Naning. Pada bulan Mac 1832, angkatan Inggeris yang diketuai oleh Kolonel Herbert menyerang Naning dan berjaya mengalahkannya setelah menawan Taboh, pusat pentadbiran Naning.

Dol Said berundur ke Seri Menanti dan akhirnya menyerah diri kepada Inggeris. Setelah berunding dengan Inggeris Dol Said diberikan pencen dan rumah di Melaka sementara Naning dimasukkan di dalam pentadbiran Melaka. Inggeris mengalami kerugian bernilai 100,000 Pound Sterling akibat peperangan tersebut.

Keterangan ringkas mengenai sejarah Dol Said

Tuesday, 9 October 2012

Masjid Jamek Dato' Klana Petra Sendeng, Ampangan Negeri Sembilan


Catatan 22 September 2012 – Ampangan
Masjid Jamek Dato' Klana Petra Sendeng

Sewaktu dalam perjalanan menziarahi makam Syeikh Mohd Said al-Linggi bersama dengan kawan saya Azelin, saya tertarik pada rekabentuk unik masjid ini. Saya memberhentikan kenderaan di hadapan masjid dan mengambil gambar di sekitar masjid. Walau bagaimanapun, saya tidak dapat masuk ke bahagian dalam masjid kerana pintu masjid ini dikunci.


Lokasi
Melalui lebuhraya LEKAS, sekiranya keluar dari persimpangan Tol Ampangan/ Jelebu. Ambil Jalan Jelebu menuju ke Ampangan/ Seremban, masjid ini terletak di tepi jalan (sebelah kiri) dan warna bumbungnya yang hijau boleh dilihat dengan jelas.


Keterangan
Rekabentuk ukiran puncak bumbung

Masjid Jamek Dato' Klana Petra Sendeng, Ampangan dibina pada tahun 1840-an sewaktu Dato' Klana Petra Kawal menjadi Undang Luak Sungai Ujong sebelum dibaiki pulih oleh Dato' Klana Petra sendeng ketika menjadi Undang Luak Sungai Ujong pada tahun 1850-an. Pada tahun 1920, semasa pentadbiran Dato' Klana Petra Maamor bin Kasim masjid ini dibina semula dengan batu-bata. Pada tahun 1995, nama masjid ini ditukar kepada Masjid Jamek Dato' Klana Petra Sendeng atas nasihat Dato Klana Petra Mubarak bin Dohak. Tapak asal masjid ini diwakafkan oleh Allahyarham Tok Mukim. Setelah beberapa kali mengalami pengubahsuaian, masjid ini kini boleh memuatkan seramai 3000 jemaah.
Perkuburan lama berhadapan dengan masjid

Masjid Abidin, Kuala Terengganu


Catatan 30 September 2012 – Kuala Terengganu

Selesai menziarahi 4 Makam ulama silam di sekitar Kuala Terengganu (Tok Pulau Manis, Tokku Tuan Besar, Tokku Paloh dan Tok Pelam) semalam, pagi ini saya mengambil peluang untuk melawat Masjid Abidin. Masjid ini juga termasuk dalam senarai lokasi yang perlu dilawati dalam lawatan ini. Selepas menunaikan solat subuh di hotel penginapan, saya bergegas ke masjid ini.

Lokasi
Terletak di Tengah-tengah Bandar Kuala Terengganu, berhampiran dengan Bukit Puteri dan Istana Maziah.
Pemandangan Masjid Putih dari Bukit Puteri


Keterangan
Masjid Abidin dibina di antara tahun 1793 -1808 semasa pemerintahan Almarhum Sultan Zainal Abidin II. Asalnya ia dibina sebagai istana baginda Sultan. Masjid Abidin juga dikenali sebagai Masjid Putih, mungkin kerana keseluruhan bangunan ini berwarna putih dan lebih menyerlah daripada bangunan lain yang terdapat di Kuala Terengganu.
Menara
Rekabentuk kubah
Kolah untuk berwuduk

Peringkat awal, masjid ini dibina daripada kayu. Namun, semasa pemerintahan Almarhum Sultan Omar, binaan masjid ini telah digantikan dengan batu-bata. Tengku Panglima Besar (Tengku Muda Kemaman) sekali lagi telah mengubahsuai dan memperbesarkan masjid ini dan menambah 3 tiang berbentuk bulat dan 3 buah menara. Semasa Almarhum Sultan Ismail menduduki takhta, masjid ini diperbesarkan sehingga boleh menampung 2500 jemaah pada tahun 1972. 

Ruang solat (atas dan bawah)

Pemandangan kubah dari dalam dalam masjid
Rekabentuk mimbar

Pintu bahagian dalam yang diperbuat dari kayu
 

Monday, 8 October 2012

Ziarah ke Makam Syeikh Ahmad Majnun, Pengkalan Kempas

Catatan 3 Oktober 2012
Makam Syeikh Ahmad Majnun, Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas

Dari Melaka, saya mudik ke Port Dickson, kali ini destinasi saya ke Pengkalan Kempas, atau lebih tepatnya Komplek Sejarah Pengkalan Kempas yang terletak di tepi Sungai Linggi untuk menyelongkar makam seorang lagi ulama silam, Syeikh Ahmad Majnun.
Makam

Pengkalan Kempas lebih kurang 37KM dari Bandar Port Dickson, melalui jalan menghala ke Melaka/ Lubok China. Lebih kurang 100 Meter dari pekan Pengkalan Kempas (simpang ke kiri sekiranya dari Port Dickson). Selain menempatkan makam Syeikh Ahmad Majnun, kompleks ini juga menempatkan batu megalit (batu hidup). Sebahagian dari batu megalit tersebut mempunyai ukiran purba.

Catatan berkenaan Syeikh Ahmad Majnun

Beliau merupakan salah-seorang ulama silam Melaka.

Pendapat pertama: Ketika dalam perjalanan untuk mejalankan misi dakwah, beliau meninggal dunia dan dimakamkan di sini (Pengkalan Kempas).

Pendapat kedua: Beliau merupakan seorang ulama yang menganut mazhab yang berbeza dengan mazhab yang dianuti oleh pemerintah dan masyarakat Melaka pada masa itu. Oleh yang demikian, Syeikh Ahmad Majnun dan pengikutnya berpindah ke Pengkalan Kempas. Bimbang penyebaran mazhab ini akan menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat Melaka, pemerintah Melaka pada zaman itu, Sultan Mansur Syah telah menitahkan Bendahara Tun Perak mengetuai angkatan Melaka untuk memerangi Syeikh Ahmad Majnun dan pengikutnya di Pengkalan Kempas. Dalam peperangan tersebut Syeikh Ahmad Majnun tertewas dan beliau sendiri terbunuh.
Batu Bersurat berhampiran makam
Formasi batu Megalit yang terdapat di pinggir makam

Nama Syeikh Ahmad Majnun tercatat pada inskripsi batu bersurat yang terdapat di makam. Allahu a’lam.