Friday, 5 October 2012

Ziarah ke Makam Syeikh Tok Pulau Manis, Serada Kuala Terengganu



Catatan 29 September 2012

Dari Makam Makam Tok Ku Tuan Besar, saya meneruskan perjalanan ke Kampung Pulau Manis, Serada untuk menziarahi Makam Tok Pulau Panis di Tanah Perkuburan Kampung Pulau Manis, setelah mendapat petunjuk arah dari beberapa jemaah yang sempat saya tanya di Masjid Tok Ku Tuan Besar.

Lokasi

Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu. (Lebih kurang 20KM dari pusat bandar Kuala Terengganu).

Melalui Jalan Kuala Terengganu – Kuala Berang, masuk ke persimpangan Kampung Pulau Musang melalui jalan Sungai Rengas sehingga tiba di selekoh yang mempunyai simpang tiga (Di selekoh inilah letaknya Keropok Selekoh Sungai Rengas yang dikatakan sedap). Kemudian saya ambil simpang ke kiri , jalan ini tembus ke Penghadang Baru. Di persimpangan Penghadang Baru, saya ambil simpang ke kanan (sekiranya ambil simpang ke kiri akan kembali keluar ke Jalan Kuala Terengganu- Kuala Berang). (Sekiranya masuk melalui persimpangan Penghadang Baru dari Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang sebenarnya lebih mudah dan dekat berbanding masuk melalui persimpangan Pulau Musang).

Lebih kurang 5KM dari persimpangan tersebut, simpang ke Serada/ Pulau Manis di sebelah kanan. Lebih kurang 3KM dari persimpangan tersebut kelihatan Masjid Pulau Manis (kanan) dan bertentangan dengan masjid tersebut ada satu lagi simpang. Lebih kurang 150M dari simpang tersebut letaknya Tanah Perkuburan Pulau Manis. Dari tepi jalan akan kelihatan binaan berwarna kuning di atas bukit di tengah-tengah perkuburan tersebut. Itulah makam Syeikh Tok Pulau Manis.

Keterangan

Syeikh Tok Pulau Manis atau nama sebenarnya Syeikh Abdul Malik merupakan seorang lagi ulama terkemuka Negeri Terengganu dan Alam Melayu. Beliau dilahirkan pada tahun 1650-an di Kampung Pauh, Hulu Terengganu. Beliau berketurunan Sharif Muhammad, yang berasal dari Baghdad, mempunyai pertalian darah dengan Sharif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati), salah-seorang Wali Songo yang terkenal di Indonesia dan Nusantara. Beliau juga mempunyai nasab dari keluarga Rasulullah Saw melalui Syaidina Hussien RA, putera Syaidina Ali bin Abu Talib dengan Syaidatina Fatimah binti Rasulullah SAW.
Bangunan Makam Tok Pulau Manis dicat warna kuning
Pendidikan

Peringkat awal, beliau mendapat didikan agama dari ahli keluarganya sendiri. Selepas itu, Syeikh Tok Pulau Manis, menyambung pelajarannya di Aceh dan dikatakan pernah berguru secara dengan ulama Aceh terkemuka, Syeikh Abdul Rauf al-Singkel. Selain itu, ada keterangan lain yang menyatakan beliau juga pernah berguru dengan Syeikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri (Syeikh Siyah Kuala) Ketika mencapai umur 30 tahun lebih kurang dalam tahun 1680-an, beliau berangkat ke Kota Mekah dan memperdalamkan lagi ilmu agamanya di sana selama lebih kurang 10 tahun.

Di Kota Mekah, Syeikh Tok Pulau Manis berguru dengan ulama-ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim al- Kurani (guru kepada Syeikh Abdul Rauf al-Singkel). Beliau mendalami semua disiplin ilmu iaitu Fekah, Usuluddin, Tasawuf dan sebagainya semasa di Kota Mekah. Semasa di Kota Mekah, beliau bersahabat dengan ulama-ulama nusantara lain yang seangkatan dengannya seperti Tuan Haji Mohd Salleh bin Omar al- Semarani (Jawa), Dato' Syed Abdullah (Terengganu), Fakeh Abdul Kadir (Palembang), Fakeh Abdul Rahman Pattani, Fakeh Abdul Samad Kedah dan Haji Muhammad Siantan.

Tangga lebih-kurang sepanjang 25-30M ke Makam (Foto atas). Pintu masuk ke makam. (Foto bawah)

Semasa di Kota Mekah juga, Syeikh Tok Pulau Manis mendalami dan menyertai tarekat As-Syazilliah. Beliau menjadikan kitab-kitab tasawuf karangan Imam al-Ghazali seperti Ihya 'Ulumuddin, Minhaj al- Abidin dan kitab karangan Syeikh Ibnu Athoillah seperti al- Hikam dan sebagai rujukan semasa mendalami ilmu Tawawuf.

Selain belajar, Syeikh Tok Pulau Manis juga pernah mengajar di Mekah dan kebanyakan pelajar beliau adalah mereka yang datang dari Tanah Jawi (Alam Melayu). Kedudukan Syeikh Tokku Pulau Manis dikatakan sama pentingnya dengan ulama Melayu lain seperti Syeikh Abdul Samad al-Palimbani, Syeikh Daud bin Abdullah Fattani, Syeikh Nawawi al-Bentani dan sebagainya. Syeikh Tokku Pulau Manis juga telah menterjemahkan kitab al- Hikam ke dalam bahasa Melayu atas permintaan rakan-rakan sepergurunya di Mekah.
Pemandangan dalam makam.

Pulang ke Terengganu

Syeikh Tok Pulau Manis kembali ke Terengganu ketika berusia 40 tahun. Beliau mempunyai pertalian yang erat dengan pembesar tempatan di Terengganu. Malah dikatakan beliaulah yang bertanggungjawab menabalkan Sultan Zainal Abidin I (1725-1734) sebagai Sultan Terengganu yang pertama. Sultan Zainal Abidin I juga dikatakan menantu Syeikh Tokku Pulau Manis. Ketika Syeikh Tokku Pulau Manis berpindah ke Pulau Manis dari Hulu Terengganu, Sultan Zainal Abdin juga ikut sama berpindah dan menjadikan Kuala Terengganu sebagai pusat pemerintahan baginda.

Di samping bertugas sebagai mufti Kerajaan Terengganu, beliau menjadikan Kampung Pulau Manis sebagai tempat penyebaran dan perkembangan ilmu islam. Pusat pengajiannya didatangi orang ramai bukan setakat sekitar dari Terengganu dan Pahang bahkan dari sekitar Alam Melayu untuk menuntut ilmu agama di sini.

Ada juga sumber yang mencatatkan setelah pulang ke Terengganu (Kuala Berang), Syeikh Tok Pulau Manis telah dijodohkan oleh ayahnya dengan Puteri Mahpuri, anak salah-seorang pembesar yang berasal dari Johor yang menetap di Terengganu. Setelah ayahnya meninggal dunia, beliau ditabalkan menjadi pemerintah kerajaan Islam Temir ketika itu. Walau bagaimanapun, keinginan untuk berdakwah dan menyebarkan agama Islam lebih menarik hatinya.

Beliau kemudiannya bermesyuarat dengan para pembesarnya untuk mencari penggantinya sebagai pemerintah. Akhirnya mesyuarat tersebut memutuskan Tun Jenal, anak muridnya dan anak seorang pembesar Johor dilantik menjadi pemerintah dengan syarat Tun Jenal hendaklah berkahwin dengan Siti Zubaidah, puteri Syeikh Tok Pulau Manis. Selain itu mesyuarat tersebut juga memutuskan Syeikh Tok Pulau Manis kekal sebagai penasihat dan ulama istana.
Makam Tok Pulau Manis

Syeikh Tok Pulau Manis meninggal dunia dalam tahun 1736 dan dimakamkan di Tanah Perkuburan Pulau Manis.

2 comments:

  1. Great, your articles are really very informative and easy to understand. Thanks for this special article. The e visa Turkey is a permit to visit Turkey without any hurdle. you can fully enjoy Turkey . Turkey is a famous destination for tourism .

    ReplyDelete
  2. Amazing indeed it is a fascinating website and I feel very happy to read this blog. Do you want to know who is Best Digital Marketing Agency in Meerut ?.We are the one who is included in the top list of best digital Marketing Agency in Meerut and Delhi NCR.

    ReplyDelete