Catatan 29 September 2012
Lawatan
bersama keluarga ke Kuala Terengganu ini memberi saya peluang untuk menziarahi
makam empat orang ulama silam terkemuka Terengganu iaitu Syeikh Tok Pulau
Manis, Syeikh Tokku Tuan Besar, Syeikh Tokku Paloh dan Syeikh Tok Pelam.
Selepas Check In di hotel penginapan, saya membawa keluarga ke Pasar Payang,
untuk makan tengah hari sambil “melayan” isteri mencuci mata melihat barangan
jualan di sana.
Selepas
menghantar isteri dan anak ke hotel penginapan, saya memulakan aktiviti ziarah
makam dengan menjadikan lokasi makam Syeikh Tokku Tuan Besar di Cabang Tiga dan
makam Syeikh Tokku Paloh di Kampung Paloh, Losong sebagai destinasi pertama dan
kedua. Mengikut rancangan asal saya sepatutnya menziarahi makam Syeikh Tokku
Tuan Besar terlebih dahulu di Cabang Tiga, tetapi memandangkan saya “terlepas”
Masjid Tok Ku Tuan Besar (lokasi makam), saya mengubah rancangan dengan
menziarahi makam Syeikh Tokku Paloh terlebih dahulu.
Papan tanda Tanah Perkuburan Tokku Paloh |
Syeikh Tokku Paloh
atau nama sebenar beliau Sayyid Abdur Rahman bin Sayyid Muhammad al-Aidrus
merupakan salah seorang ulama besar Negeri Terengganu yang tersohor. Beliau
dilahirkan pada tahun 1817 di Kampung Cabang Tiga dan meninggal dunia dalam
tahun 1917, merupakan anak kepada seorang lagi ulama besar Terengganu, Sayyid
Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin al-Aidrus, yang lebih dikenali dengan gelaran
Syeikh Tokku Tuan Besar.
Kawasan perkuburan dari tepi jalan |
Lokasi
Makam Syeikh
Tokku Paloh terletak di kampung Paloh, Losong Feri Kuala Terengganu. Lorong ke
kampung Paloh sebenarnya berhampiran dengan Muzium Terengganu, iaitu di sebelah
kiri jalan sekiranya menghala ke Muzium Terengganu dan Taman Tamadun Islam.
Makam ulama dan Wali Allah ini terletak
di atas bukit kawasan Perkuburan Paloh.
Makam Syeikh Tokku Paloh terletak di atas bukit, bertembok putih. Kelihatan tangga simen ke makam. |
Keterangan
Syeikh Tokku
Paloh atau nama sebenar beliau Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus bin Saiyid
Muhammad al-Aidrus bin Saiyid Zainal Abidin al- Aidrus merupakan putera seorang
lagi tokoh ulama terkenal Terengganu, Syeikh
Tokku Tuan Besar. Syeikh Tokku Paloh dilahirkan dalam tahun 1817 di Cabang
Tiga, Kuala Terengganu.
Adik-beradiknya
juga merupakan ulama yang banyak berjasa dan berbakti kepada pemerintah dan
rakyat Terengganu seperti Saiyid Zainal
Abidin al-Aidrus yang terkenal dengan gelaran Engku Saiyid Perdana Seri Perdana, Saiyid Ahmad al-Aidrus (Tokku Tuan Ngah Seberang Baruh) dan Saiyid Mustafa al-Aidrus (Tokku Tuan Dalam).
Pendidikan
Peringkat
awal pendidikan agama Syeikh Tokku Paloh adalah dari ayahandanya sendiri yang
merupakan juga seorang ulama. Kemudian beliau belajar pula dengan tokoh agama
lain yang terkemuka zaman itu, Tok Syeikh
Duyung (Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani) yang juga
merupakan rakan baik ayahnya.
Syeikh Tokku
Paloh kemudiannya melanjutkan pelajaran agamanya ke Mekah dan berguru dengan
beberapa orang ulama seperti Saiyid Ahmad
bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad
bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Antara rakan seperguruannya di Mekah
adalah seperti Syeikh Muhammad Zain bin
Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul
Kadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh
Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat
Kecik al-Fathani (dari Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan sebagainya.
Kawasan makam dalam tembok yang menempatkan makam Syeikh Tokku Paloh dan ahli keluarganya. |
Pulang ke Terengganu
Setelah
pulang dari Kota Mekah, Syeikh Tokku Paloh menjadikan Kampung Paloh, Terengganu
sebagai pusat pengajian dan penyebaran dakwah Islamiah. Pusat pengajian beliau
didatangi ramai orang dari pelbagai jurusan untuk menuntut ilmu agama dari
Syeikh Tokku Paloh. Mereka tidak terhad dari sekitar Terengganu sahaja bahkan
dari Kelantan, Pahang dan Pattani.
Antara anak muridnya terkenal adalah seperti
Sultan Zainal Abidin III, Tuan Haji
Abdul Rahman Limbong, Haji Mohd [Mat]
Hassan bin Munas (Tok Janggut) dan sebagainya.
Bahkan,
pahlawan Pahang yang menentang campurtangan Inggeris di negeri tersebut seperti
Tok Gajah, Dato’ Bahaman dan Mat Kilau
pernah berkesempatan menuntut ilmu dari Syeikh Tokku Paloh semasa mendapatkan
perlindungan daripadanya. Syeikh Tokku Paloh dikatakan telah menaikkan semangat
ketiga-tiga pahlawan tersebut yang mulai tertekan dan hampir menyerah diri
dengan tindakan askar Inggeris yang sedang memburu mereka. Berkat bantuan
Syeikh Tokku Paloh, angkatan pahlawan Pahang bertambah besar dan kembali
tersusun.
Sebagai
ulama tersohor, selain mempunyai murid yang ramai Syeikh Tokku Paloh juga
meninggalkan khazanah dalam bentuk penulisan kitab-kitab seperti Dhiya ‘Uqud ad-Durratain dan manuskrip
tasawuf yang sangat terkenal di kalangan
masyarakat Tasawuf di Terengganu, Kelantan dan Pahang, Ma’arij al-Lahfan. Syeikh Tokku Paloh juga memilih Tarekat
Naqsyabandiah sebagai amalan tasawufnya.
Syeikh Tokku
Paloh juga terlibat secara langsung dengan pemerintahan dan pentadbiran Negeri
Terengganu, terutamanya semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Beliau menjadi ulama yang menasihati Sultan
dalam hal-hal pentadbiran negeri agar sejajar dengan syariat dan hukum Islam
dan merupakan salah-seorang Ahli Majlis
Mesyuarat Negeri. Bahkan adik-beradiknya seperti Tuan Embung Abu Bakar (Tokku Tuan Kecik) dan Tokku Nik (Senik) dan beberapa orang lagi pernah memegang jawatan
penting dalam pemerintahan Negeri Terengganu.
Syeikh Tokku
Paloh juga amat membenci campurtangan Inggeris di Tanah Melayu. Maka kerana itu
tidak hairanlah anak muridnya yang terkenal seperti Haji Abdul Rahman Limbong
dan Tok Janggut tercatat dalam sejarah Negara sebagai pejuang bangsa yang
menentang penjajahan Inggeris.
Suatu
ketika, ketika wakil Inggeris menghadap Sultan Zainal Abidin III, sebagai satu
langkah untuk cuba campurtangan di Terengganu, baginda mengusulkan agar wakil
Inggeris berkenaan bertemu dan berbincang dengan Syeikh Tokku Paloh. Baginda
merujuk Syeikh Tokku Paloh sebagai “Tuan” Negeri Terengganu. Walau bagaimanapun
beberapa siri rundingan diantara wakil Inggeris dengan Syeikh Tokku Paloh tidak
berhasil. Inggeris hanya berjaya campurtangan di Terengganu selepas kematian
Syeikh Tokku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III.
Makam Tokku Paloh berpagar besi berwarna hijau. Ketika lawatan ini, ianya berkunci. |
Peristiwa luar biasa/ karomah
Antara
peristiwa luar biasa yang berlaku yang dikaitkan dengan karomah Syeikh Tokku
Paloh semasa pertemuannya dengan wakil Inggeris yang berhasrat untuk campur
tangan dalam urusan pentadbiran Terengganu. Apabila rundingan tersebut gagal
mencapai persetujuan, wakil Inggeris tersebut bangun dengan perasaan tidak puas
hati, malangnya kerusi yang diduduki juga ikut terangkat seperti terlekat pada
punggungnya.
Setelah
rundingan pertama gagal, rundingan kedua diadakan di sebuah kapal Inggeris,
namun rundingan tersebut juga gagal kerana ketika rundingan berlangsung,
apabila Syeikh Tokku Paloh menyengetkan serbannya ke kiri, kapal tersebut juga
senget ke kiri dan begitulah sebaliknya. Inggeris hanya berjaya campurtangan di
Terengganu selepas kematian Syeikh Tokku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III.
Syeikh Tokku
Paloh meninggal dunia pada September 1917 ketika berusia 100 tahun. Jenazahnya
dikebumikan di Tanah Perkuburan Tokku Paloh, Losong Kuala Terengganu. Wallahu a’lam.
Makam Syeikh Tokku Paloh yang ditutup dengan kain berwarna hijau. |
tq,skrg saya boleh buat kerja kursus
ReplyDeleteIjazah Senaman Nafas Sejati
ReplyDeleteSanad Sunan Gunung Jati Aliran Tokku Paloh
⚔Perisai Diri & Keluarga
⚔Perawatan Diri &Keluarga
⚔Belajar Melalui Guru Bersanad.
⚔Boleh Merawat Tanpa Menggunakan Khidmat Orang Lain.
⚔Keilmuan Putih HaQ
Step1
Ijazah SNSPT Rm150.00
Ijazah SNSKT Rm150.00
(Promosi SNSPT+SNSKT Rm199.99)
*10% infaq ke tahfiz
Bertemu Lutut Dgn Guru @ Jarak Jauh
Sesi Ijazah -Tarikh Cadangan :-
7-09-2019 Sabtu Malam
05-10-2019 Sabtu Malam
* Cukup Korum 30 Org Program On
Lokasi @ KL
*Whatsapp*
https://chat.whatsapp.com/ExDOIJ4SJLq2rhi6hsWBFt
*Telegram*
http://t.me/keilmuanhaq
Almarhum tokku paloh adalah Moyang kami
ReplyDelete