Catatan
3 September 2012 – Taboh, Naning, Melaka
Masjid Dol Said di Naning |
Tujuan lawatan ke
Melaka kali ini sebenarnya bukan untuk menyelongkar makam, tetapi untuk
menyelongkar tiga masjid tertua di Malaysia, Masjid Kampung Hulu, Masjid
Kampung Keling dan Masjid Tengkera. Walau bagaimanapun, memandangkan saya akan
melalui Tol Simpang Ampat dan Alor Gajah, saya memasukkan Makam Dol Said
sebagai salah-satu destinasi lawatan saya kali ini kerana jarak dari Plaza Tol
Simpang Ampat dengan Taboh, Naning amat dekat.
Lokasi
Taboh, Naning. Di
bulatan selepas tol Simpang Ampat ambil simpang ke kanan (di sini terdapat papan
tanda Makam Dol Said akan menunjukkan arah ke kanan). Lebih kurang 500M selepas
bulatan akan kelihatan satu lagi papan tanda berkenaan dan sebuah masjid, iaitu
Masjid Dol Said. Makam pahlawan tersebut terletak di kawasan perkuburan di
belakang masjid berkenaan.
Tanah Perkuburan di belakang Masjid |
Sejarah
Dol Said @ Abdul
Said dilahirkan pada 1773 di Naning, Alor Gajah berketurunan Suku Semelanggang.
Beliau merupakan Penghulu Naning yang ke-9, menggantikan Penghulu Anjak pada
tahun 1799 ketika berusia 26 tahun. Beliau mempelajari ilmu persilatan sejak
berusia 6 tahun lagi. Disamping hebat dalam ilmu persilatan, beliau juga cerdas
mengaji ilmu agama.
Penentangan Dol Said
terhadap British berpunca daripada keengganannya untuk menyerahkan 1/10
daripada hasil pertanian kepada Inggeris sebagai cukai. Beliau berpendapat
Naning adalah sebuah wilayah yang merdeka dan tidak perlu membayar cukai kepada
pihak Inggeris. Sebaliknya pihak Inggeris menegaskan Naning merupakan
sebahagian dari Melaka yang ditadbirnya dan semua peraturan dan undang-undang
di Melaka berkutkuasa di Naning.
Batu nesan |
Akibat keengganan
Dol Said membayar cukai tersebut, pada 15 Julai 1831 Inggeris telah
mengisytiharkan Dol Said sebagai penderhaka dan menghantar angkatan seramai 150
orang sepoi yang diketuai oleh Kapten Wyllie untuk mnyerang Naning tetapi dapat
dipatahkan oleh Dol Said dan para pengikutnya. Sepanjang tempoh 18 hari perang
Naning (6 Ogos 1831 – 24 Ogos 1831), Dol Said mendapat sokongan sehingga 1000
orang Melayu.
Walau bagaimanapun,
pihak Inggeris tidak mengalah, pada tahun 1832 pihak Inggeris sekali lagi melancarkan
serangan ke atas Naning. Namun kali ini Inggeris mendapat bantuan seramai 600
hulubalang dari Yamtuan Muda Raja Ali dari Rembau untuk mengalahkan Naning.
Pada bulan Mac 1832, angkatan Inggeris yang diketuai oleh Kolonel Herbert
menyerang Naning dan berjaya mengalahkannya setelah menawan Taboh, pusat
pentadbiran Naning.
Dol Said berundur ke
Seri Menanti dan akhirnya menyerah diri kepada Inggeris. Setelah berunding
dengan Inggeris Dol Said diberikan pencen dan rumah di Melaka sementara Naning
dimasukkan di dalam pentadbiran Melaka. Inggeris mengalami kerugian bernilai
100,000 Pound Sterling akibat peperangan tersebut.
Keterangan ringkas mengenai sejarah Dol Said |
No comments:
Post a Comment